PORT DICKSON: Seorang warga emas yang mengusahakan sebuah kedai runcit menjadi satu-satunya individu berketurunan Baba yang tinggal di pekan Pengkalan Kempas, Linggi di sini.
Lim Poh Eng, 66, atau lebih dikenali sebagai ‘Aunty Lim berkata, dia berasal dari Masjid Tanah, Melaka dan mula berniaga di pekan kecil itu sejak 30 tahun lalu selepas mengambil alih perniagaan kedai runcit milik rakan kepada mendiang ibunya.
Katanya, pada peringkat awal ada segelintir penduduk yang tidak mempercayai dirinya berketurunan Baba.
“Memang ada yang tak percaya. Saya sudah cakap ibu bapa saya Baba Nyonya, tetapi orang tetap tidak percaya sampai saya kena tunjuk gambar.
“Tetapi ada pula yang mendengar cara saya bercakap, mereka terus tahu saya bukan orang Cina biasa. Mereka kata mendengar slanga saya bercakap berbeza , contohnya lapar, kami orang peranakan guna ‘laper’,” katanya kepada Utusan Malaysia di pekan Pengkalan Kempas semalam.
Tambah Poh Eng, sifatnya yang mesra dan gemar berkawan membuatkan dia mudah diterima masyarakat setempat
“Bagi saya, berniaga bukan sekadar menjual barang. Kita kena jaga hubungan baik dengan semua orang. Biar ramai kawan, jangan ramai musuh. Saya pun sudah menganggap semua pelanggan seperti keluarga saya sendiri,” katanya. – UTUSAN











