SUNGAI BULOH: Seorang lelaki maut manakala 15 lagi cedera, termasuk sembilan parah, dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, lori tiga tan dan sebuah motosikal di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, antara Sungai Buaya dan Rawang, awal pagi semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Luqman Nul Hakim, 37, anggota polis bantuan bertugas di Batu Pahat yang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi akibat kecederaan parah ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Buloh.
Anak saudara mangsa, Nur Ashikin Nordin, 32, berkata, Luqman dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat bersama isteri dan empat anak berusia tujuh bulan hingga 10 tahun selepas menziarahi pusara ibu tiri yang meninggal dunia tiga hari lalu di Jitra, Kedah.
“Arwah baru selesai menziarahi kubur ibu tiri dan dalam perjalanan balik ke Batu Pahat. Tak sangka perjalanan itu berakhir begini,” katanya.
Jenazah Luqman dijangka dibedah siasat sebelum dikebumikan di Beranang, Selangor.
Sementara itu isteri mangsa mengalami retak tulang kaki manakala anaknya cedera ringan.
Dalam kejadian sama, pasangan peniaga warga emas turut cedera, seorang daripadanya parah. Anak mangsa, Kamaruz Zaman Anam, 25, berkata ibunya, Khalijah, 61, ditempatkan di zon hijau manakala bapanya, Khairul Anam, 59, dirawat di zon merah akibat patah kedua-dua kaki dan dijangka menjalani pembedahan. Pasangan itu menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Melaka bagi melawat anak mereka.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas yang berada di lorong kanan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan bas melintang di lebuh raya sebelum dirempuh lori tiga tan dan motosikal.
Pemandu lori dan penunggang motosikal turut cedera parah, manakala pemandu bas tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata panggilan kecemasan diterima pukul 5.24 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang tiba di lokasi pukul 5.51 pagi.
Beberapa mangsa tersepit sebelum operasi menyelamat dijalankan.
Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh, dengan lapan dirawat di zon hijau, empat di zon kuning dan tiga di zon merah.
Punca kemalangan masih dalam siasatan. – UTUSAN










