Saringan kontraktor hapus kartel, ali baba

Saringan kontraktor hapus kartel, ali baba

Abd. Gapar Lambak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Saringan terhadap kontraktor mampu memulihkan integriti industri pembinaan negara yang sekian lama terjejas akibat kewujudan ‘ali baba’, kontraktor tidak aktif dan kartel yang menguasai projek secara berleluasa. 

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, saringan yang dilaksanakan secara menyeluruh mampu mengesan dan mengekang sebahagian besar aktiviti kartel yang selama ini memonopoli projek, menekan kontraktor kecil dan sederhana serta menjejaskan kos dan kualiti pembinaan.

“Namun PKMM menegaskan bahawa saringan ini tidak boleh bersifat menghukum kontraktor kecil sebaliknya mesti bertujuan membersihkan ekosistem industri agar peluang diagihkan secara adil kepada kontraktor yang benar-benar bekerja dan berusaha. 

“Kami percaya bahawa industri yang bersih, adil dan telus akan melindungi kontraktor tulen, menghapuskan kartel, menjamin kelangsungan kontraktor bumiputera secara berdaya saing. 

“PKMM bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan dalam merangka mekanisme saringan yang adil, praktikal dan berpaksikan realiti industri. Saring untuk membina, bukan menyingkir. Bersih industri, sejahtera kontraktor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya saringan terhadap kontraktor di Malaysia dilaksanakan bagi memastikan hanya golongan itu yang benar-benar aktif diketengahkan dalam industri pembinaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan mengelak persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan kelangsungan pemain sebenar dalam industri berkenaan.

Abd. Gapar percaya hasrat sepertimana dinyatakan Timbalan Perdana Menteri dapat dicapai jika saringan dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan berpaksikan realiti industri.

Katanya, kerjasama antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), kementerian terbabit dan agensi penguatkuasaan begitu penting bagi memastikan proses saringan benar-benar berkesan dan tidak sekadar menjadi prosedur di atas kertas.

“Apabila ekosistem industri dibersihkan, kos pembinaan dapat dikawal, kualiti projek meningkat dan kelangsungan kontraktor Melayu dan bumiputera dapat dijamin,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN