Sarapan suasana klasik di Kopi Kampung

Sarapan suasana klasik di Kopi Kampung

Antara menu masakan kampung untuk sarapan berkonsepkan tradisional Melayu. Kopi Kampung sudah dipenuhi pelanggan yang ingin menikmati sarapan berkonsepkan tradisional Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekiranya bercuti ke Pulau Langkawi dan tinggal di hotel atau inap desa, jangan lepaskan peluang keluar awal pagi bagi menikmati sarapan di kedai-kedai yang diusahakan penduduk tempatan.

Aneka menu warisan Melayu yang unik mungkin jarang dapat kita nikmati seperti pulut dengan kelapa dan ikan masin, ubi rebus dengan kelapa dan gula merah, antara hidangan yang ditawarkan di kedai makan pagi sekitar pulau ini.

Antara kedai yang menawarkan aneka sarapan berkonsepkan menu tradisional Melayu, adalah Kopi Kampung yang terletak di Jalan Chandekura, Kampung Bukit Lembu. Ia dibuka seawal pukul 7.30 pagi untuk pengunjung menikmati sarapan.

Sebaik sahaja melangkah ke Kopi Kampung, pengunjung seakan berada dalam rumah kampung dengan hiasan dalaman dan dengan sudut tingkap dihiasi langsir putih dan ukiran kayu.

Irama lagu lama bergema lembut dalam ruang kedai seperti lagu Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee dan Saloma juga menambah keenakan rasa setiap hirupan kopi pekat yang dihidangkan dalam cawan kopitiam yang turut diselitkan sekeping biskut lemak di sisinya.

Pemilik Kopi Kampung, Maya Tapa, 49, berkata, Kopi Kampung dibuka sejak lima tahun lalu tetapi menggunakan nama ‘Little Cafe by Maya’s’ dan asalnya hanya dibuka untuk makan malam sahaja. Tiga tahun lalu, kedai itu bertukar nama ke Kopi Kampung.

 

 

“Saya pilih nama Kopi Kampung kerana ia lebih bersesuaian kerana kami menawarkan kopi yang dihasilkan oleh orang kampung sendiri berasal dari Langkawi serta yang mempunyai pelbagai perisa yang sedap,” jelasnya.

Antara menu nostalgia sarapan yang enak adalah ubi kayu rebus kelapa muda, ketupat rendang ayam, pulut ikan masin, jagung kukus kelapa muda dan lempeng kelapa dimakan bersama kari ikan seekor. Terdapat juga roti canai sarang burung, roti gulung atau roti jala dan lontong.

Maya yang berasal dari Perlis, berpengalaman menjalankan perniagaan selama 22 tahun dan pernah bekerja dalam bidang perhotelan selama 10 tahun berkata, kedainya itu turut menerima kunjungan pelancong dari Eropah, Russia, Jerman, Amerika Syarikat, England, Poland, Belanda dan lain-lain.

“Apabila kita tengok orang Barat masuk restoran orang Melayu kita mesti ingat mereka akan makan makanan Barat. Hakikatnya, tidak sama sekali kerana mereka lebih memilih untuk merasa dan menikmati hidangan asli Melayu,” katanya.

Hidangan makan tengah hari dan malam

Kopi Kampung juga tidak kurang hebatnya dengan pelbagai pilihan hidangan Melayu dan Barat yang sesuai untuk makan tengah hari dan makan malam.

“Set Sejoli adalah set makanan untuk dua orang dengan harga bermula dari RM39.90 hingga RM55.00, merangkumi lauk-pauk seperti ikan, ayam atau daging bersama nasi dan ulam-ulaman.

“Set Makan Ramai-ramai pula adalah pilihan set keluarga atau kumpulan besar. Anda boleh memilih menu Set Siakap atau Jena­hak dengan harga RM119.00 hingga RM129.00,” katanya.

Pilihan hidangan berasaskan makanan laut seperti masakan ikan siakap atau jenahak, udang dan sotong dengan pilihan gaya masakan seperti sambal belacan, goreng, atau sup. Hidangan lain seperti pilihan Shell Out, Nasi Goreng dan hidangan Barat.

Bagi makanan ala carte, terdapat pelbagai pilihan sup seperti sup daging, sup tulang, sup perut dan sup campur yang berharga antara RM10 sehingga RM15 semangkuk.

“Lauk pauk seperti ayam atau daging masak paprik, goreng kunyit, halia boleh dinikmati pada harga RM8 dan RM10 sepinggan. Bagi makanan kegemaran ramai, restoran ini menawarkan char koay teow kerang berharga RM8 dan char koay teow udang berharga RM12.

“Terdapat juga pelbagai jenis mee seperti mee goreng, mee hailam dan mee sup. Bagi nasi goreng, restoran ini menawarkan nasi goreng kampung, nasi goreng ikan masin, nasi goreng ayam dan nasi goreng Pattaya,” terangnya.

Makanan Barat

Bagi hidangan tengah hari dan makan malam, pengunjung boleh mencuba masakan Barat seperti chicken chop, chicken chop dengan nasi goreng atau spaghetti, fish N chip, nasi goreng atau spaghetti kambing panggang, burger ayam atau kambing.

Hidangan lain adalah spaghetti bebola daging, carbonara, udang, aglio olio itik salai, spaghetti tom yam makanan laut berkrim, bebola daging berkeju dan wedges berkeju dan nugget. Semuanya bermula pada harga RM7 sehingga RM25.

“Selain Kopi Kampung, kami juga mempunyai restoran di Pantai Tengah iaitu Maya’s Pantai Tengah yang sudah berusia 22 tahun dan 90 peratus pelanggan datang dari Eropah dan menyajikan makanan tradisi Melayu serta Thai.

“Satu lagi restoran sebelum ini dikenali Alun-Alun Ikan Bakar tetapi ditukar nama Dulang Mahsuri yang terletak di Jeti Pelancongan Pekan Rabu. Ia menyediakan buffet sarapan dan makanan berasaskan makanan laut dan ikan bakar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN