DEBUK! Terkejut saya dan keluarga yang sedang asyik menjamu selera. Bunyi kuat itu betul-betul di belakang kami. Rupa-rupanya sebiji durian gugur dari pokok, demikian suasana di The Shack @ DeRimba.

Lantas seorang lelaki di sebelah meja kami terus bertanya kepada kru kafe yang mengutipnya, “Tak nak jualkah durian itu?” Itu suasana kami alami sewaktu bersarapan di The Shack @ DeRimba, baru-baru ini.
Menuju ke kafe ini yang terletak di Kampung Haji Palil, Batu 16, Hulu Langat, Selangor mencetuskan sedikit rasa adventure buat orang bandar seperti kami. Ada jambatan Bailey untuk merentasi sungai dan laluan kecil yang muat-muat sebuah kereta sahaja.
Kira-kira satu kilometer dari jalan besar nanti jumpalah papan tanda kafe. Kafe di dalam dusun durian seluas 0.5 hektar ini boleh memuatkan 120 pengunjung dalam satu-satu masa. Pilihlah hendak duduk di mana.
Di kawasan terbuka berbumbungkan rimbunan pokok durian, khemah, gazebo ataupun koridor yang dipayungi pokok air mata pengantin. Apa yang pasti, suasananya nyaman sambil dihiburkan kicauan burung dan bunyi unggas. Senang cerita macam duduk kampunglah.
Menurut Pengurus The Shack @ DeRimba, Aidah Tajuddin, kebanyakan pelanggan datang dari kawasan sekitar seperti Ampang, Hulu Langat dan Cheras. Ada juga dari Putrajaya dan Rawang yang mengetahuinya melalui media sosial.
Pelbagai menu disediakan. Ada bihun goreng, bihun sup, sandwic, lempeng kelapa, nasi kerabu, roti canai, tempe goreng, kroisan, pisang goreng, skon, tiramisu, ah, banyak lagilah! Kami pilih lontong, roti jala, nasi lemak dan roti bakar. Rasanya? Tidak mengecewakan.
Jelas Aidah, kualiti setiap hidangan amat dititikberatkan sebelum dihidangkan kepada pengunjung.
“Ayah dan ibu saya yang akan buat uji rasa makanan. Pagi-pagi lagi mereka akan buat kawalan kualiti (QC), rasa dulu. Setiap menu perlu melalui ‘pemeriksaan’ dan ‘kelulusan’ kedua-dua mereka dahulu,” katanya.

Sebelum terlupa. Pastikan pekena kopi O kampung. Dua gelas kami minum sebab rasanya yang sangat istimewa.
Durian pun ada dijual jika tiba musim terdiri daripada varian D24, MDUR 88 iaitu durian hibrid dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta durian kampung. Ada juga buah pulasan, dokong dan markisa.
Bukan sekadar menikmati sarapan, ada buku pelbagai genre turut disediakan untuk pengunjung.Kanak-kanak dan remaja juga pasti tidak bosan kerana ada aktiviti seperti bermain buih sabun, bola keranjang dan pingpong.
Selain Aidah, kafe itu diusahakan oleh abang dan seorang rakannya sejak Februari 2024.
Aidah memberitahu, nama kafe tersebut ada ceritanya. Pada peringkat awal dusun itu diusahakan, ayahnya yang merupakan anak jati Hulu Langat mendirikan sebuah bangsal (shack).
Ketika membawa ibunya yang berasal dari Kampar (bandar) ke situ buat pertama kali, ibunya terkejut kerana kawasan itu cukup hulu (pedalaman) baginya. Hendak masuk ke Hulu Langat dari jalan besar di simpang Batu 9, jalannya sangat kecil.
“Zaman itu pokok-pokok yang tumbuh di kiri kanan jalan tunduk bercantum antara satu sama lain. Ibu yang nampak keadaan itu terus bertanya kepada ayah, kenapa tinggal dalam rimba?” ceritanya.
Cerita itu sering diulang-ulang bapanya ketika mereka berkumpul hingga menjadi satu gurauan keluarga sampai sekarang. Bagi mengabadikannya, maka mereka namakan kafe berkenaan sebagai The Shack @ DeRimba.
Perkataan DeRimba itu juga merujuk pada kebun. Nama kafe itu juga mahu dikaitkan dengan sebuah restoran yang tidak wujud dinamakan
The Shed at Dulwich di London tetapi pernah mendapat penarafan senarai tertinggi dalam TripAdvisor.
“Yang membezakan kedua-duanya adalah The Shack @ DeRimba benar-benar wujud tapi The Shed at Dulwich hanyalah fiksyen,” ujarnya.
Bagi saya, tidak cukup datang sekali ke kafe ini sebab banyak lagi menu kena cuba. Cumanya, ia dibuka pada Sabtu dan Ahad sahaja dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari. Kalau hari-hari buka, tidak hairan jika ia boleh jadi port lepak orang Ampang, Cheras dan Hulu Langat!-UTUSAN










