Saman tiga ADUN: Kerajaan negeri tidak sediakan perkhidmatan peguam - Utusan Malaysia

Saman tiga ADUN: Kerajaan negeri tidak sediakan perkhidmatan peguam

ABU Bakar Hamzah (kiri) bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (tengah) di Kampung Sena, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan negeri tidak menyediakan perkhidmatan peguam kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan bagi menghadapi saman tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri menyediakan peruntukan mengikut harga siling ditetapkan kepada Rus’sele bagi membolehkan beliau mendapatkan perkhidmatan peguam sendiri.

Abu Bakar berkata, peruntukan disediakan itu adalah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di mana Rus’sele juga masih berkhidmat sebagai Speaker.

“Kerajaan negeri tidak terlibat untuk penyediaan peguam dan sebagainya, termasuk Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri juga tidak terlibat dalam penyediaan peguam. Cuma kita tetapkan peruntukan mengikut paras siling ditetapkan buat Speaker berikhtiar mencari mana-mana peguam yang difikirkan perlu untuk mempertahankan dia.

“Ini demi hendak menjaga kestabilan kedua parti, dan kerajaan negeri pun masih dalam Perikatan Nasional (PN), jadi kita nak bagi suasana itu nampak cantik,” katanya selepas melakukan kunjungan ke rumah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di Kampung Sena, di sini, semalam.

Baru-baru ini, tiga bekas ADUN Pas yang digugurkan keahlian parti dan dikosongkan kerusi DUN menfailkan saman pemula ke atas Rus’sele.

Saman pemula tersebut dikemukakan oleh bekas ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim selaku plaintif pertama, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) selaku plaintif kedua dan Saad Seman (Chuping) plaintif ketiga di Mahkamah Tinggi, Kangar.

Pada 25 Disember lalu, Rus’sele mengumumkan kekosongan luar jangka di kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas ADUN terlibat terhenti keahlian Pas, susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Bersatu dikatakan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli selaku Menteri Besar ketika itu

Abu Bakar berkata, beliau juga berharap agar penyelesaian terbaik dapat dibuat membabitkan kes tiga ADUN dan Rus’sele tersebut.

“Kita juga cadangkan kalaulah tak ada halangan, Pas Pusat juga kena ambil pendekatan untuk harmonikan hubungan kedua-dua pihak ini dan berilah satu ketetapan agar kedua-dua ini mendapat situasi menang-menang. Sekurangnya, ADUN terlibat pun akan dapat berkhidmat semula walaupun berstatus Bebas dalam menjaga kehormian dan nasib rakyat di tiga kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, sekiranya cadangan dilontarkan itu masih tidak dapat dipertimbangkan, beliau akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di kawasan-kawasan terlibat selepas ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN