PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan lebih tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial atau kelonggaran visa, untuk bekerja di Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan laporan dan taklimat terkini mengenai beberapa tindakan dan tangkapan operasi penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan pengunaan Pas Lawatan Sosial bagi mereka yang masuk ke negara ini untuk bekerja.
“Walaupun kemasukan mereka itu adalah atas sebab sosial sama ada untuk melawat, untuk pergi melancong tapi akhirnya, rupa-rupanya ada elemen-elemen pekerjaan yang telah dikesan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga memaklumkan seramai 54,791 warga asing telah diambil tindakan penguatkuasaan bagi tempoh 2025 hingga pertengahan bulan ini.
Fahmi berkata, daripada jumlah tersebut, 51,100 individu direkodkan sepanjang tahun lepas, manakala 3,691 orang setakat pertengahan bulan ini. – UTUSAN










