ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas sikap sekumpulan peguam yang mewakili remaja lelaki berusia 17 tahun yang mahu mendapatkan MyKad miliknya selaras perintah dikeluarkan mahkamah.
Menurut beliau, isu yang dibangkitkan tidak memberi gambaran tepat berhubung perkara berkenaan kerana seolah-olah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sengaja melengahkan proses dan mempersulitkan pelaksanaan keputusan mahkamah.
Katanya, kementerian dan JPN khususnya tiada masalah dengan keputusan tersebut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 14(1)(e) yang memperuntukkan bahawa bayi yang tidak diketahui asal kelahirannya boleh dianggap sebagai warganegara.
“Kes ini bermula apabila ibu bapa kepada anak ini hadir ke JPN untuk membuat MyKad. Melalui penampilan fizikal, didapati anak ini dan ibu bapanya langsung tidak seiras.
“Siasatan mendapati ibu bapa mengakui bahawa maklumat kelahiran anak ini diperoleh daripada sebuah hospital swasta yang berada dalam senarai hitam JPN kerana terlibat dalam sindiket mengeluarkan maklumat kelahiran secara tidak sah.
“Ibu bapa mengetahui bahawa sijil kelahiran anak ini diperoleh secara tidak sah ketika bayi. Apabila anak ini meningkat usia, perbezaan tersebut menjadi ketara. Pengakuan ini tidak disebut oleh peguam berkenaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Kedah, hari ini.
Kelmarin, sekumpulan peguam mewakili remaja yang disahkan mahkamah pada bulan lalu sebagai seorang warganegara Malaysia telah membidas sikap JPN kerana enggan mematuhi arahan hakim.
Pada 8 Disember 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja tersebut yang selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan lalu.
Ujar Saifuddin, kenyataan peguam berkenaan kononnya borang permohonan memohon MyKad tersebut memerlukan pengesahan wakil rakyat sahaja juga tidak benar kerana ia boleh disahkan oleh sesiapa yang berkelayakan.
“Pengesahan boleh dibuat oleh wakil rakyat, pegawai kerajaan atau mana-mana pihak yang berkenaan. Ini bukan syarat baharu atau pelik. Jadi kenyataan untuk mendapatkan kewarganegaraan perlu sokongan wakil rakyat adalah tidak tepat dan tidak adil, ini merapu.
“Saya ingin tegaskan, JPN akan tetap melaksanakan sepenuhnya perintah mahkamah untuk memastikan anak ini memperoleh kewarganegaraan. Tiada isu dalam perkara ini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, proses mesti bermula dengan langkah pertama iaitu mengeluarkan sijil kelahiran yang sah bagi menggantikan sijil kelahiran asal diperoleh secara tidak sah selaras dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
Menurut Saifuddin, MyKad akan dikeluarkan seperti biasa setelah sijil kelahiran baharu diperoleh dengan rekod terkini jumlah kes kewarganegaraan yang tertunggak telah berkurang daripada 50,000 kepada bawah 4,000 dalam tempoh tiga tahun.-UTUSAN










