KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, perlu direhatkan sementara bagi memberi ruang siasatan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan beliau.
Cadangan itu disuarakan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang berkata, langkah berkenaan penting supaya siasatan dapat dijalankan secara bebas tanpa menimbulkan persepsi campur tangan atau gangguan terhadap proses berkenaan.
Katanya, langkah merehatkan sementara pegawai kanan berkenaan bukan untuk menghukum sesiapa, sebaliknya bagi mengekalkan integriti institusi pertahanan serta keyakinan rakyat terhadap badan tersebut.
“Laksamana Madya Datuk Sabri Zali perlu direhatkan sementara daripada diberi tugas supaya siasatan dakwaan salah laku terhadap beliau berjalan tanpa gangguan.
“Langkah ini penting supaya siasatan dapat dijalankan secara bebas tanpa menimbulkan persepsi campur tangan atau sebarang gangguan terhadap proses berkenaan.
“Sekiranya ada siasatan yang sedang berjalan atau bakal dijalankan, lebih wajar beliau direhatkan sementara supaya proses itu boleh berjalan secara telus dan bebas,ini bukan soal peribadi, tetapi soal kepercayaan rakyat,” katanya pada sidang akhbar berkenaan pendedahan penting melibatkan isu kepentingan awam dan integriti nasional di Restoran Syed Bistro di sini hari ini.
Jumaat lalu dalam sidang akhbar Sabri dilaporkan menafikan tuduhan dilemparkan terhadapnya oleh Chegubard yang juga aktivis politik. Perkara itu dimaklumkan peguam Sabri, Muhammad Firdaus Jumaluddin.
Sementara itu, Badrul Hisham turut mempersoalkan tindakan Sabri yang mengadakan sidang media sebelum ini di premis tentera dengan memakai seragam ketika menjawab isu yang dianggapnya bersifat peribadi.
Beliau berkata, isu itu sepatutnya diselesaikan sebagai urusan peribadi tanpa melibatkan institusi pertahanan.
“Perkara seperti itu wajar dijelaskan sebagai seorang individu awam dan tanpa mengaitkan institusi negara,” katanya.- UTUSAN










