Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) berpandangan bahawa Rancangan Pendidikan Negara (RPN) merupakan satu inisiatif strategik yang penting dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan agar kekal relevan, berdaya saing dan selari dengan keperluan semasa.
Pendekatan menyeluruh yang digariskan mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah seimbang dari aspek sahsiah, nilai dan kemahiran insaniah.
Kami menyokong penekanan terhadap akses pendidikan yang adil dan inklusif bagi memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan, khususnya melibatkan komuniti luar bandar, murid berkeperluan khas dan golongan daripada latar belakang sosioekonomi rendah.
Prinsip ekuiti ini perlu diterjemahkan secara praktikal melalui penyediaan prasarana yang mencukupi, pengagihan sumber yang saksama serta perancangan kapasiti sekolah yang realistik.
Namun dalam aspek pelaksanaan, KONGRES menegaskan bahawa kejayaan RPN amat bergantung kepada peranan, kesiapsiagaan dan kebajikan warga pendidik.
Isu kesesakan kelas, beban tugas bukan pengajaran serta kekurangan sumber manusia masih menjadi cabaran utama yang perlu ditangani secara menyeluruh agar guru dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran.
KONGRES turut memandang serius cadangan kemasukan murid berumur 6 tahun ke tahun 1 yang memerlukan penelitian rapi dari sudut kesediaan murid, perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak serta keupayaan sekolah untuk menampung peningkatan enrolmen.
Pelaksanaan dasar tersebut wajar dilakukan secara berfasa dan berlandaskan penilaian kesediaan murid agar proses penyesuaian kepada alam persekolahan formal tidak menjejaskan minat dan kesejahteraan mereka.
KONGRES menegaskan bahawa sebarang pembaharuan kurikulum, termasuk kemasukan murid 6 tahun ke tahun 1 dan pelaksanaan matrik tahun 4, hendaklah disertai dengan sokongan menyeluruh kepada guru serta mekanisme pemantauan yang berkesan. Suara dan pengalaman guru di peringkat akar umbi perlu diambil kira agar dasar yang dilaksanakan selari dengan realiti bilik darjah.
Namun, kejayaan sebenar rancangan ini bergantung kepada perancangan yang teliti, pelaksanaan berfasa, serta sokongan berterusan warga pendidik. –UTUSAN
Mohamad Zapawi Mamat
Presiden, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) merangkap Presiden, Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES).










