RANTAU PANJANG: Operasi merobohkan 223 jeti haram yang dibina sepanjang Sungai Golok, dekat sini dijangka selesai Mac ini.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz, berkata, setakat ini sebanyak 25 jeti haram sudah dirobohkan melibatkan jeti berstruktur.
“Hujung tahun 2025 sebanyak 25 jeti berstruktur sudah dirobohkan, bagaimanapun ditangguhkan disebabkan banjir.
“Perobohan itu melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi persekutuan dan negeri,” katanya semasa menyertai lawatan di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pak Teh Kana (JP 1), Kampung Tersang, di sini hari ini.
Mohd, A. Aruwan berkata, operasi merobohkan baki jeti haram berkenaan dilaksanakan tahun ini dan dijangka selesai pada Mac ini.
“Terdapat 96 jeti berstruktur dan selebihnya jeti tidak berstruktur. Kita fokus perobohan jeti berstruktur di tanah milik kerajaan manakala jeti di atas tanah bersendirian kita tidak kacau lagi,” katanya. – UTUSAN










