RM 15 juta bantu kelangsungan Dapur Siswa UMS

RM 15 juta bantu kelangsungan Dapur Siswa UMS

Perasmian Dapur Siswa yang terletak di Kolej Kediaman Tun Fuad oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor sempena penubuhan sambutan ulang tahun UMS ke-31 November tahun lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan yang dikenali sebagai Dapur Siswa Madani.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Raman Noordin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Seri Anwar Ibrahim berhubung bantuan tersebut.

Menurut Raman, penyaluran peruntukan tersebut mencerminkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, khususnya dari aspek keperluan asas makanan.

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diperluaskan ke seluruh institusi pendidikan tinggi (IPT) amat bertepatan dalam menangani isu ketidakjaminan makanan dalam kalangan pelajar, sekali gus memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembelajaran dan pembangunan diri di menara gading.

“Selari dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, UMS melalui Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) mengambil langkah proaktif awal dengan menubuhkan Dapur Siswa di dua buah kolej kediaman di Kampus induk Kota Kinabalu yang mula beroperasi pada 24 November tahun lalu.

“Pada masa kini, Dapur Siswa di Kolej Kediaman UMS Kampus Antarabangsa Labuan sedang dalam pembinaan dan dijangka akan siap pada bulan depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan sokongan kebajikan pelajar.

“Inisiatif ini akan terus diperkasa dan diperluas ke Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya.

Tambah Raman, bagi menjamin kelangsungan operasi Dapur Siswa, pelbagai kempen telah dilaksanakan seperti Kempen 1 Staf 1 Kampit Beras dan penubuhan Tabung Amanah Dapur Siswa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN