PETALING JAYA: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menahan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro mencetuskan ketidaktentuan pasaran, sekali gus memberi tekanan sementara terhadap mata wang tempatan dan pergerakan harga minyak mentah dunia.
Semalam, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada 4.0580/0680 berbanding 4.0880/4.0930 pada Jumaat lalu, sebelum ditutup lemah pada 4.0700/4.0750.
Minyak mentah Brent pula diniagakan pada AS$60 (RM244.72) setong manakala West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada AS$56.53 (RM230.57) setong.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati dan berlegar dalam julat RM4.60 hingga RM4.65 berbanding dolar AS minggu ini dengan potensi pemulihan jika sentimen risiko kembali stabil.
Ujarnya, pembukaan ringgit yang lebih rendah semalam sebahagiannya dipengaruhi oleh sentimen geopolitik global.
“Perkara itu telah mendorong aliran keluar sementara daripada mata wang serantau ke arah dolar AS.
“Bagaimanapun, faktor ini bukan satu-satunya punca, kerana pergerakan ringgit juga dipengaruhi oleh sentimen pasaran global, pergerakan dolar AS dan jangkaan dasar monetari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, AS melancarkan serangan berskala besar ke atas Venezuela dan menahan Presidennya, Nicolás Maduro, bersama isteri sebelum diterbangkan keluar dari negara itu, menurut Presiden AS, Donald Trump.
Harga minyak jatuh pada Isnin selepas satu operasi ketenteraan AS menahan Maduro, yang negaranya mempunyai rizab minyak mentah terbukti terbesar di dunia.
Peningkatan jumlah minyak Venezuela yang memasuki pasaran akan menambah kebimbangan lebihan bekalan dan memberi tekanan tambahan ke atas harga minyak, yang telah menurun sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Mengulas mengenai kejatuhan harga minyak, Mohamad Idham berkata, penurunan itu dijangka bersifat sementara dengan harga minyak diunjur didagangkan dalam julat AS$70 (RM285.51) hingga AS$75 (RM305.90) setong dalam tempoh terdekat, bergantung kepada perkembangan lanjut geopolitik dan data permintaan global.
“Kejatuhan itu berpunca daripada jangkaan isu Venezuela tidak akan mengganggu bekalan global secara ketara dalam jangka terdekat.
“Ini ditambah dengan kebimbangan terhadap permintaan global yang sederhana. Namun begitu, pasaran minyak ketika ini lebih dipengaruhi oleh faktor permintaan berbanding geopolitik semata-mata,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Faisol Ibrahim berkata, isu yang berlaku terhadap Presiden Venezuela memberi kesan besar terhadap geoekonomi dan geopolitik dunia, termasuk Malaysia.
Jelasnya, penangkapan itu secara langsung akan menjejaskan harga minyak dunia kerana Venezuela memiliki simpanan minyak terbesar, melebihi Arab Saudi, AS dan Rusia.
“Tindakan ini juga akan memberi kesan segera kepada pasaran saham dunia yang kini menantikan langkah susulan hasil tindakan AS itu.
“Keadaan ini mendorong pelabur bersikap berhati-hati dan mungkin mengambil tindakan drastik dengan menjual saham bagi mengurangkan risiko sekiranya berlaku perang dagangan yang boleh memuncak susulan pencerobohan AS terhadap Venezuela, terutama melibatkan China dan Rusia,” katanya. – UTUSAN










