Merentas desa merupakan salah satu acara sukan yang amat sinonim dengan ketahanan fizikal dan mental dalam kalangan murid sekolah.
Sukan tersebut menuntut peserta berlari secara individu atau berkumpulan melalui kawasan lapangan yang terbentang luas, meliputi jarak sejauh antara tiga hingga lima kilometer.

Bertitik tolak daripada kepentingan ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu, Kelantan melalui Unit Sukan 1M1S merancang penganjuran Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah yang diadakan baru-baru ini di dataran sekolah berkenaan.
Program tersebut membabitkan laluan sekitar kampung Jejulok serta kawasan persekitaran sekolah.
Penganjuran acara tahunan itu bukan sahaja sebagai tradisi sekolah, malah berfungsi sebagai platform mencungkil bakat baharu dalam kalangan murid untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurut pengerusi program, yang juga Guru Besar SK Banggu, Noor Azniah @ Noni Mat Nor, aktiviti merentas desa merupakan wahana penting dalam membina kecergasan fizikal dan mental murid.
“Membina kecergasan fizikal dan mental melalui aktiviti sukan amatlah penting dalam membentuk individu yang benar-benar cergas serta berdaya tahan.” ujarnya.
Beliau berkata, pendidikan sukan perlu dibudayakan sejak di bangku sekolah bagi melahirkan masyarakat yang sihat dan aktif.
Matlamat utama kejohanan tersebut adalah mengenal pasti serta menggilap bakat murid dalam bidang olahraga.
Bakat-bakat terbaik tersebut seterusnya berpotensi mewakili sekolah ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Bharu, dan lebih jauh lagi ke peringkat negeri serta kebangsaan.
Selain itu, kejohanan tersebut juga berperanan memupuk nilai disiplin, semangat bersaing secara sihat dan kekuatan mental dalam kalangan murid.

Sementara itu, Setiausaha Sukan SK Banggu, Muhammad Hafiz Mohamad Zamri berkata, pertandingan merentas desa yang dianjurkan bukan sekadar pertandingan fizikal, tetapi medan membina karakter dan jati diri.
“Memupuk persaingan yang sihat di antara murid adalah matlamat penting. Kita ingin memastikan setiap murid dapat merasai pengalaman bersukan dengan penuh semangat kesukanan,” katanya.
Kejohanan tahunan tersebut menyasarkan penyertaan menyeluruh daripada guru-guru, kakitangan dan semua murid SK Banggu.
Acara utama merentas desa merangkumi enam kategori mengikut kelas dan umur, dijalankan mengikut peraturan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang diubah suai berdasarkan garis panduan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Kelantan.
Lima peserta terbaik daripada kategori L12 dan P12 bakal dipilih mewakili sekolah ke pertandingan MSSD.
Menariknya, pada masa yang sama, murid Tahun 1 turut tidak ketinggalan memeriahkan acara dengan pertandingan sukaneka seperti pertandingan bawa bola dalam sudu serta membawa air menggunakan span untuk diisi ke dalam botol.
Aktiviti ini bukan sahaja merangsang kemahiran murid , malah memberi peluang kepada mereka kecil untuk merasai suasana kejohanan sukan secara aktif.
Kejohanan bermula pada 7.30 pagi dengan sesi taklimat, pendaftaran kehadiran, diikuti senam robik sebagai rutin pemanasan badan sebelum pelepasan peserta dilakukan mengikut kategori oleh tetamu perasmi.
Peserta tiba di sekolah sekitar pukul 9.30 pagi sebelum majlis penutup dan penyampaian hadiah berlangsung. Sesi pembersihan kawasan dan disiplin pula menutup tirai program.
Dari aspek penyediaan hadiah, sekolah menawarkan hadiah iringan kepada 20 peserta terbaik bagi setiap kategori sebagai penghargaan kepada usaha dan pencapaian mereka. Keseluruhan penganjuran ini dibiayai melalui Bantuan Sukan Sekolah (BSS).
Menurut salah seorang peserta yang terlibat, Ahmad Fahim Wafiyyuddin Ahmad Safarman, sukan merentas desa bukan sahaja terletak pada daya tahan fizikal, malah turut menonjolkan semangat kerjasama dan masa individu menjadi asas penilaian.
Kejohanan Merentas Desa SK Banggu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat atletik sekolah, malah sebagai satu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. –UTUSAN










