GEORGE TOWN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan kondominium di Gelugor, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 tengah hari itu, mangsa yang juga seorang warga tempatan dilaporkan terjatuh dari bilik tidur di tingkat 10 sebelum ditemui terbaring di tingkat tujuh kondominium berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 1.15 tengah hari.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dan segera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang memberitahu, mangsa kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Tambah beliau, walaupun siasatan awal pihak polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut, namun, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ketika ini.-UTUSAN










