Rasuah: Bicara kes Pengarah Hydroshoppe bermula Mei

Rasuah: Bicara kes Pengarah Hydroshoppe bermula Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 52, yang didakwa menawarkan rasuah berhubung konsesi Menara Kuala Lumpur akan bermula di Mahkamah Sesyen di sini, pada 7 Mei ini.

Hakim Suzana Hussin menetapkan 17 hari untuk perbicaraan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Elyza Amira Habeeb Rahman dan peguam bela, Tang Jia Yearn yang mewakili tertuduh bersetuju dengan tarikh berkenaan.

“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 7 dan 8 Mei, 5 Jun, 20 hingga 22 Julai, 28 Ogos, 5 hingga 7 Oktober dan 19 hingga 21 Oktober serta 1 hingga 4 Disember 2026.

“Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan kes pada 18 Mac ini untuk pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi,” katanya pada sebutan kes itu di sini hari ini.

Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, perbicaraan itu akan turut membabitkan Hydroshoppe yang didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh menawarkan suapan itu kepada Ser Lay bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh serupa.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN