Rancangan Pendidikan Negara dilancar esok

Rancangan Pendidikan Negara dilancar esok

Transformasi sistem pendidikan tinggi Malaysia di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dilaksanakan menerusi tiga fasa supaya lebih berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang dilancar esok bakal menggariskan pelan strategik pendidikan nasional merangkumi keseluruhan ekosistem daripada peringkat sekolah sehingga universiti.

Pelaksanaan RPN berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam menyelaras dasar, hala tuju dan reformasi pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan, inklusif dan berdaya saing dalam tempoh sedekad akan datang.

Menurut kenyataan bersama dua kementerian, pelancaran rancangan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok.

Bagi Kementerian Pendidikan Tinggi, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 orang pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan merupakan dokumen utama pembangunan pendidikan tinggi dan pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab penyelidikan serantau.

Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui Kementerian Pendidikan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara, selaras dengan visi Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

“RPTM 2026–2035 merupakan dokumen yang bersifat dinamik iaitu fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi. 

“Fokus utama pelan ini turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat. Selain itu, integrasi teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan,” katanya semalam.

Dalam pada itu, RPM 2026-2035 yang membabitkan pendidikan sekolah pula menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan negara yang digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi.

“Ia memberi penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik.

“Selain itu, pemantapan prasarana dan infostruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian,” katanya.

Kenyataan berkata, pelaksanaan RPTM 2026-2035 dan RPM 2026-2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026-2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN