Rambang mata di Mum’s Heritage

Rambang mata di Mum’s Heritage

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH kafe berkonsep pelbagai jenis makanan di bawah satu bumbung yang menghimpunkan puluhan jenis kek dan pastri di samping vendor makanan tempatan, kini menjadi tumpuan ramai di Alor Setar.

Kafe Mum’s Heritage
Mergong,
Alor Setar Kedah
Operasi: Setiap hari dari 9 pagi hingga 11 malam
Makanan: Pelbagai
jenis kek dan pastri

Premis milik usahawan Suhaida Mat Alim, 45, ini menawarkan pengalaman menjamu selera di kafe atau dibawa pulang yang berbeza dengan menyediakan pelbagai pilihan makanan dalam satu lokasi.

Sejurus melangkah masuk, pengunjung disambut dengan deretan kaunter yang mempamerkan aneka pastri, kek, biskut dan makanan siap makan (RTE). Susun atur yang kemas memudahkan pelanggan meninjau pilihan sebelum membuat pesanan.

Antara tarikan utama restoran ini adalah puluhan jenis kek dan biskut buatan kafe ini dan vendor di premis berkenaan. Makanan hipster kegemaran ramai seperti crepe durian gebu dan kek durian Musang King antara yang mencuri tumpuan pengunjung.

Menurut Suhaida, terdapat lebih 50 jenis kek dengan 20 perisa yang memberi pilihan kepada penggemar kek termasuk hasil air tangannya sendiri yang berpengalaman puluhan tahun dalam bidang pembuatan kek dan pastri itu.

Selain menawarkan pelbagai pilihan kek klasik dan hipster yang tular, tidak ketinggalan kek coklat lembab mengekalkan tekstur yang lembut dengan rasa coklat yang seimbang manakala kek butter memberikan rasa tradisional yang ringkas tetapi memuaskan.

Rak biskut pula dipenuhi pelbagai jenis kudapan, daripada biskut rangup nipis hingga biskut lembut bersaiz besar.

Setiap satu sesuai dijadikan snek harian atau buah tangan, terutama dengan pembungkusan yang kemas. Biskut chocolate rice dan Y antara yang menjadi signature kafe ini kerana sekali masuk ke mulut terimbau nostalgia zaman kecil.

Selain manisan, terdapat juga vendor yang menyediakan makanan ringan dan kuih tradisional.

Tentu sahaja minuman disediakan untuk melengkapkan menu makanan yang ada. Kopi panas mempunyai aroma yang seimbang, manakala minuman sejuk menjadi pilihan sesuai bagi dipadankan dengan pastri dan kek manis. Pelbagai jenis minuman matcha yang terkini menarik perhatian. Terdapat lebih 30 jenis minuman di kafe ini.

Daripada segi harga, makanan yang ditawarkan berada pada tahap berpatutan dengan kualiti. Saiz hidangan memadai, menjadikannya sesuai untuk kunjungan santai bersama keluarga atau rakan.

Mum’s Heritage Alor Setar merupakan cawangan ketiga syarikat milik usahawan wanita tersebut yang singgah di bandar raya ini pada Oktober tahun lalu selepas pembukaan cawangan pertama di Kangar, Perlis dan kedua di Changlun, Kubang Pasu.

Suhaida memberitahu, terdapat lebih 1,000 produk dijual di setiap premis berkenaan sekali gus menawarkan pengalaman makan yang praktikal dan memuaskan.

Sememangnya, kepelbagaian pilihan makanan menjadi kekuatan utama kafe Mum’s Heritage ini, menjadikannya destinasi sesuai untuk pecinta pastri dan makanan RTE.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN