KUBANG PASU: Pemuda yang dirawat di sebuah hospital di Krabi, Thailand akibat kemalangan di negara itu dijangka dibawa pulang ke tanah air untuk menerima rawatan lanjut.
Muhammad Hazim Rafiq Hussain, 21, kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital tersebut sejak Rabu lalu.
Menurut abang mangsa, Muhammad Harith Rafie, 24, adiknya kini dalam keadaan separa sedar dan melihat pergerakan pada bahagian tangan dan kakinya..
“Saya perlu menguruskan ambulans dari hospital swasta tempatan untuk membawa Hazim dari Krabi ke sempadan jika mahu bawa dia balik ke Malaysia.
“Tetapi sebelum dapat membawa pulang adik, segala kos perubatan di hospital berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Muhammad Harith Rafie berkata, kos rawatan sebenar belum diketahui buat masa ini, namun terdapat beberapa pihak yang menawarkan bantuan.
Semalam, akhbar ini melaporkan Muhammad Hazim Rafiq koma di sebuah hospital di Krabi akibat kemalangan dengan sebuah lori di negara itu pada Rabu lalu.
Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan pada kepala, kebocoran paru-paru dan tulang bahagian pinggang yang retak.
Kemalangan berlaku ketika mangsa bersama lima rakan berkonvoi ke Thailand sejak Selasa lalu dengan menaiki motosikal. – UTUSAN










