PETALING JAYA: Rakyat berhak kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan mengamalkan rasuah.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dipelihara dan dipertahankan.
“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah.
“Pemeliharaan dua aspek Rukun Negara itu amat penting kerana ia memberi kesan secara langsung ke atas tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di ibu negara, hari ini.
Sultan Ibrahim dipersembahkan taklimat isu-isu semasa perihal perundangan dalam negara oleh Azalina yang turut menyentuh soal pengukuhan tatakelola serta usaha reformasi institusi ke arah memerangi rasuah. – UTUSAN










