Raja Muda Kedah puji warga emas lapor cucu terlibat dadah 

Raja Muda Kedah puji warga emas lapor cucu terlibat dadah 

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berbual dengan Mad Akhir Hanafiah (tiga kiri) dan isterinya, Rahani Manap semasa menyantuni keluarga itu di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, tindakan pasangan warga emas membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menahan cucu lelaki yang terlibat penyalahgunaan dadah harus menjadi contoh.

Tengku Sarafudin bertitah, sikap berdiam diri atau cuba menyembunyikan sebarang kesalahan penyalahgunaan dadah terutamanya membabitkan ahli keluarga sebenarnya tidak betul dari segi agama dan moral

“Saya rasa tindakan ini merupakan satu langkah terpuji kerana walaupun sayang cucunya, Mad Akhir merasakan ada tanggungjawab untuk memulihkan cucunya melalui penglibatan pihak berkuasa lain.

“Sikap berdiam diri atau cuba menyembunyikan sebarang kesalahan penyalahgunaan dadah terutamanya membabitkan ahli keluarga sebenarnya tidak betul dari segi agama dan moral,” titah baginda.

Terdahulu, Tengku Sarafudin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berangkat menyantuni Mad Akhir Hanafiah, 75, dan isterinya, Rahani Manap, 74, yang membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menahan cucu lelaki terlibat penyalahgunaan dadah di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai.

Dalam pada itu, Mad Akhir berkata, dia tidak menyangka tindakan mereka membuat laporan polis itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk keluarga Diraja Kedah.

Dia berkata, walaupun sedih terpaksa mengambil tindakan sebegitu, namun demi memastikan masa depan cucunya dia tidak mempunyai pilihan lain.

“Saya bersyukur selepas berita itu tular saya menerima banyak mesej daripada pelbagai pihak termasuk istana yang memuji tindakan itu sebagai bertanggungjawab dan berani.

“Tambahan lagi dengan keberangkatan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin ke rumah petang semalam memberi semangat bahawa tindakan yang dilakukan saya betul,” katanya ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda; Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam Rabu lalu, susulan laporan polis yang dibuat datuknya.

“Suspek mempunyai empat rekod pembabitan dalam penyalahgunaan dadah dan pernah menjalani hukuman penjara serta mendapat rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serdang, dekat sini dan Gambang, Pahang.

“Dia ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dalam proses untuk pertuduhan Seksyen 39C akta yang sama kerana melakukan kesalahan berulang,” katanya.

AADK Kuala Muda baru-baru ini melaporkan, pasangan warga emas itu dengan perasaan penuh sebak membuat laporan polis meminta menahan cucu lelaki mereka yang terjebak penyalahgunaan dengan harapan cucunya itu berubah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN