SERAMAI 24 pelajar Malaysia, majoritinya daripada Pulau Pinang, berjaya meraih keseluruhan 80 pingat pada World Robot Games (WRG) 2025 yang diadakan di Taipei, Taiwan, baru-baru ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang berpeluang meluangkan masa merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar yang terlibat menyifatkan kejayaan itu sebagai amat bermakna serta memberi inspirasi kepada generasi muda.
Beliau berkata, seramai 22 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daripada Pulau Pinang yang terlibat telah membuktikan bahawa kanak-kanak negeri ini memiliki potensi besar dalam bidang teknologi, inovasi dan robotik di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian ini mencerminkan nilai kerja berpasukan, disiplin, kreativiti, pemikiran kritikal serta kemahiran menyelesaikan masalah yang amat penting untuk masa depan,” katanya dalam majlis penghargaan sempena menyambut kepulangan kontinjen berkenaan di George Town, Pulau Pinang di sini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S.Sundarajoo.
Kejohanan berprestij dalam bidang robotik serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu diadakan dari 25 November hingga 1 Disember lalu membabitkan 1,000 peserta daripada 10 negara.
Selain Malaysia dan tuan rumah, Taiwan, negara-negara lain yang turut mengambil bahagian ialah Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Singapura.
Dalam pada itu, Sundarajoo berkata, kejayaan cemerlang itu membuktikan keupayaan luar biasa pelajar dari SJKT dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dalam bidang teknologi dan inovasi.
Katanya, pencapaian tersebut bukan sahaja melepasi jangkaan, malah, mengatasi prestasi pasukan pada tahun sebelumnya. –UTUSAN










