Ragam hari pertama persekolahan

Ragam hari pertama persekolahan

Fadhlina Sidek bergambar bersama murid-murid Tahun Satu pada hari pertama sesi persekolahan 2026 di SJK (C) Ladang Regent Elmina Shah Alam, baru-baru ini. – utusan/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari pertama persekolahan sesi 2026 menyaksikan pelbagai ragam semasa hari pendaftaran pelajar baharu bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 seluruh negara baru-baru ini.

Kira-kira 800,000 pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu mendaftar bagi sesi 2026 yang bermula baru-baru ini menjadikan jumlah keseluruhan murid kira-kira 5 juta orang setakat ini.

Di Kuala Terengganu, seramai 21,300 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan 2026 dengan pelbagai gelagat mencuit hati dapat dilihat pada hari pertama mereka menuntut ilmu.

Kehadiran maskot pelbagai karakter antara suasana menarik yang menceriakan hari pertama persekolahan apabila setia menanti ketibaan murid di pintu pagar sekolah seawal pukul 7 pagi.

 

 

Suasana tersebut nyata dapat mengurangkan rasa gementar dalam kalangan murid Tahun Satu yang baru melangkah ke alam persekolahan, selain mencetuskan senyuman dan keterujaan ibu bapa yang menghantar anak masing-masing.

Antara sekolah yang mencuri tumpuan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Tok Nasek Kuala Terengganu, apabila kemunculan dua maskot berwarna-warni menyambut kehadiran murid, sekali gus menceriakan suasana pagi dan menarik perhatian ramai.

Pelbagai gelagat boleh dilihat antaranya didukung oleh ibu, menangis dan gembira berjumpa kawan baharu.
Ia pengalaman baharu bagi mereka apabila dibawa mengenali kawasan sekolah seperti kantin, perpustakaan, tandas dan koperasi sekolah.

Hari pertama persekolahan di negeri ini turut berlangsung dalam keadaan teratur dengan kerjasama guru serta pihak sekolah yang bersedia lebih awal bagi memastikan sesi pembelajaran bermula dengan lancar.

 

 

Dalam pada itu, seramai 206 pelajar SJK (C) Ladang Regent, Elmina, Shah Alam hadir ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan tahun baharu kelmarin.

Sekolah berkenaan juga baru memulakan operasinya pada tahun ini selepas ia dipindahkan dari Gemencheh, Negeri Sembilan dan dijangka dapat memenuhi keperluan SJK (C) di Elmina, Shah Alam.

Malah, ia dijangka menerima kemasukan pelajar baharu sehingga 300 orang bagi semua peringkat kelas pada akhir bulan ini.

Jumlah 800,000 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026, melibatkan kemasukan ke Tahun Satu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi tahun ini, lebih 400,000 murid mendaftar ke Tahun Satu manakala kira-kira lebih 400,000 berdaftar untuk Tingkatan Satu.

“Untuk Tahun satu kita ada lebih 400,000, manakala Tingkatan satu ada lebih kurang 400,000 pelajar.

“Inilah anak-anak yang kita sambut pada tahun ini untuk Darjah Satu dan Tingkatan Satu,” katanya yang menyantuni pelajar SJK (C) Ladang Regent Elmina Shah Alam, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN