KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO mempertahankan usul had usia keahlian sehingga 40 tahun sebagai langkah penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan wanita muda dalam parti.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi menafikan pandangan yang mempertikaikan Puteri UMNO sudah kehabisan idea.
Beliau berkata, Puteri UMNO perlu diberikan peluang yang adil untuk terus berbakti dan menyumbang kepada parti.
“Adakah kami tidak layak diberi peluang yang sama untuk terus menyumbang kepada UMNO?.
“Usul had umur ini bukan bertujuan menolak sesiapa, apatah lagi meminggirkan pengalaman serta jasa pemimpin terdahulu, sebaliknya membuka ruang agar peralihan generasi dapat berlaku secara teratur, adil dan berfasa.
“Sebuah parti yang mahu terus relevan tidak boleh bergantung kepada satu generasi sahaja. Kegagalan mengurus peralihan generasi hari ini bermakna kita mempertaruhkan masa depan parti,” katanya ketika penggulungan Pergerakan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU25), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa UMNO memberi ruang kepada calon daripada kepimpinan Puteri dan Wanita bagi memenuhi kuota 30 peratus calon wanita muda, selaras dengan had umur 40 tahun Puteri UMNO.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan suara dan bakat wanita muda diberi peluang sewajarnya di pentas politik, selain menjadi wakil aspirasi wanita muda dalam mengangkat isu kesihatan, ekonomi, keluarga, kemasyarakatan dan negara.
“Dengan memberi ruang ini, UMNO bukan sahaja dapat memperkukuh barisan kepimpinan parti, malah memastikan kesinambungan kepimpinan generasi muda yang berwibawa, berintegriti dan berkeupayaan membawa kembali kegemilangan UMNO,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, komitmen penglibatan 30 peratus wanita perlu diterjemahkan kepada peluang sebenar, termasuk dalam pemilihan calon menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang.
Beliau menyifatkan PRN berkenaan sebagai penanda aras penting sama ada komitmen tersebut benar-benar direalisasikan atau sekadar janji tanpa pelaksanaan, sambil menegaskan Puteri UMNO layak diberikan peranan yang bermakna dan strategik.-UTUSAN










