PETALING JAYA: Pelakon, Aiman Hakim Ridza menyifatkan pelakon remaja, Puteri Balqis sebagai seorang ‘genius’ dan memiliki tahap profesionalisme yang sangat tinggi walaupun masih di usia muda.
Aiman, 37, yang pernah bekerjasama dengan pelakon itu menerusi drama Sebelum Titik Nokhtah memberitahu, dia kagum dengan pembawaan diri Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish, yang dilihat jauh lebih matang berbanding usianya.
“Sejujurnya, dia adalah seorang kanak-kanak yang sangat bijak (brilliant). Saya bangga dengannya. Walaupun saya tahu dia datang daripada latar belakang yang agak mencabar, tetapi untuk dia berjaya sampai ke tahap ini adalah sesuatu yang hebat.
“Bagi saya, dia seorang genius untuk umur sebegitu. Bukan sahaja daripada segi lakonan, tetapi peribadinya juga sangat menghormati orang lain.
“Dia sangat matang, malah kita boleh bersembang dengannya seperti sedang bercakap dengan orang berusia 30 tahun,” katanya.
Aiman ditemui di set penghambaran Flat Simpang Satu, di sini, pada Selasa.
Tambah suami kepada pelakon Zahirah Macwilson ini, komitmen yang diberikan Aqish di set penggambaran adalah sesuatu yang jarang ditemui dalam kalangan pelakon seusianya.
“Tak ramai yang mempunyai komitmen sebegitu. Malah, kalau saya di usia dia dulu pun, saya rasa saya tidak sematang itu. Dia sangat profesional dan ia adalah sesuatu yang patut kita banggakan,” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai isu peribadi atau kontroversi yang melanda remaja itu, Aiman memilih untuk bersikap diplomatik dan enggan mencampuri urusan tersebut.
“Benda ini agak rumit. Masalah orang, saya tidak mahu masuk campur. Setiap orang ada sudut pandang (POV) yang berbeza. Bagi saya, jika tiada benda baik untuk diperkatakan, lebih baik biarkan mereka selesaikan sendiri,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aiman bakal muncul dalam drama terbaharu berjudul Flat Simpang Satu dengan memegang watak sebagai Farook, seorang pekerja di tempat pemprosesan ayam.
Jelas Aiman, watak tersebut merupakan antara usahanya untuk lari daripada imej ‘putera’ atau watak lelaki kaya yang sering dikaitkan dengannya sebelum ini.
“Saya mahu lari daripada stereotype karakter sebegitu. Dalam cerita ini, Farook adalah seorang pekerja keras yang menyimpan rahsia daripada isterinya sehingga mencetuskan pelbagai konflik.
“Sebagai pelakon, saya perlu berani mencuba sesuatu yang luar daripada zon selesa.
“Selepas ini, kalau boleh saya mengidamkan watak dalam naskhah sains fiksyen (sci-fi), mungkin jadi angkasawan pula,” katanya. -UTUSAN










