Pulau Pinang: Sindiket proses ubat tradisional haram tumpas

Pulau Pinang: Sindiket proses ubat tradisional haram tumpas

DR. Fazilah Shaikh Allaudin (tengah) dan Mohd Zawawi Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada ubat tidak berdaftar yang dirampas dalam serbuan di sekitar kawasan Juru dan Simpang Ampat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan ubat tradisional haram susulan penahanan lima lelaki berusia antara 34 hingga 60 tahun termasuk dua warga asing dalam 19 serbuan berasingan di sekitar Juru dan Simpang Ampat di sini, hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, dalam serbuan itu, sejumlah ubat tradisional haram pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM24 juta turut dirampas.

Beliau berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) dengan kerjasama daripada pihak polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak 2020 dan dikesan menghasilkan serta mengedar produk ubatan tradisional Cina yang tidak berdaftar serta melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

“Susulan pemeriksaan yang dijalankan di 13 daripada keseluruhan premis itu juga, lebih 88,000 unit ubat tradisional tidak berdaftar dan lebih 500 bungkusan bahan mentah yang disyaki mengandungi racun berjadual telah dirampas.

“Selain itu, lebih 23,000 produk separa siap, dua unit peranti digital serta 36 unit mesin turut disita dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM24 juta,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd Zawawi Abdullah yang turut serta dalam serbuan itu berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, beberapa produk yang dirampas mengandungi bahan berbahaya yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 termasuk steroid, penisilin dan allopurinol.

Mohd. Zawawi berkata, antara produk ubatan tradisional Cina yang dirampas dalam serbuan itu pula termasuk ubat tahan sakit, ubat gout dan produk kesihatan lain.

“Produk-produk ini dipercayai dipasarkan di pasaran tempatan termasuk kedai ubat Cina, selain sebahagiannya dieksport ke luar negara,” katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Tambah beliau, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penjualan ubat-ubatan atau produk kesihatan meragukan diminta membuat aduan menerusi portal aduan SisPAA atau menghubungi talian 04-2292319 atau hadir ke mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN