KUALA NERUS: Projek rock revetment atau benteng cerun batu sepanjang 40 meter dilaksanakan di Jalan Kampung Tanjung, Batu Rakit berdekatan banglo biru yang tular bagi mengelakkan hakisan pantai yang semakin serius.
Tindakan drastik itu diambil Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu bagi memastikan laluan utama penduduk setempat tidak terus terjejas akibat hakisan khususnya ketika musim tengkujuh dan ombak besar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd. Shafizi Ismail berkata, pendekatan itu paling sesuai untuk melindungi kesan hakisan dengan menyerap dan menghilangkan tenaga ombak, mencegah tanah daripada terhakis serta menstabilkan kawasan tepi air.
“Ia seterusnya dapat menyelamatkan jalan daripada runtuhan yang lebih teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Shafizi, pesisir Batu Rakit dikenal pasti sebagai antara kawasan yang sering terdedah kepada hakisan pantai sejak beberapa tahun lalu berikutan perubahan arus laut dan peningkatan fenomena ombak besar pada Monsun Timur Laut ( MTL).
“Masalah hakisan semakin membimbangkan dan jarak antara pantai dengan jalan raya semakin mengecil, sekali gus mengancam keselamatan penduduk sekitar,” katanya.
Beliau berkata, projek ‘rock revetment’ iaitu struktur lereng yang dibina daripada lapisan batu besar dan kuat di sepanjang pantai adalah langkah segera sebelum pelaksanaan penyelesaian lebih menyeluruh bagi menangani masalah hakisan di kawasan tersebut.
“Keutamaan kita adalah keselamatan penduduk dan memastikan infrastruktur awam tidak rosak terputus akibat hakisan,” katanya.










