Menjelang sesi baharu persekolahan tahun 2026 yang akan bermula minggu hadapan, antara yang termasuk dalam senarai perkara wajib ialah menggunting rambut.
Untuk itu, Masjid An-Nur (MAN) Saujana Utama di Sungai Buloh, Selangor meneruskan inisiatif menganjurkan Program Back to School – Gunting Rambut Percuma 4.0, semalam.
Program ini juga antara lain bermalamat menjadikan masjid institusi yang dekat dengan masyarakat tidak mengira kaum dan tidak terhad kepada aktiviti keagamaan shaja,
Pengarah projek, Cef Azhar Sani berkata, sambutan amat menggalakkan berdasarkan pertambahan penyertaan setiap tahun sejak ia diperkenalkan pada tahun 2022.
Katanya, kali ini kira-kira 100 peserta berumur antara 7 hingga 17 tahun mendaftar selepas seminggu program ini diuar-uarkan oleh pihak MAN.
“Sasaran utama MAN ialah anak-anak asnaf tetapi kita buka juga penyertaan kepada anak-anak kariah bagi memeriahkan lagi acara.
“MAN menyediakan peruntukan RM3,000 termasuk kos makanan dan menaja kos gunting rambut dengan The Bos Barbershop yang beroperasi di Saujana Utama,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Program yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 petang itu turut melibatkan enam tukang gunting profesional The Bos Barbershop.
Bagi Afiq Danish Saad, 13, beliau sudah tiga tahun berturut-turut menyertai program gunting rambut itu.
“Seronok sebab selain dapat gunting rambut percuma, dapat juga berkumpul dengan kawan-kawan yang lain,” kata pelajar tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama ini.

Seorang bapa, Yasseer Zainal Abidin, 44, yang tinggal di Saujana Perdana amat mengalu-alukan program tersebut yang membantu mengurangkan kos ibu bapa setiap kali memasuki sesi persekolahan baharu.
“Kali ini, saya bawa dua anak berumur 10 dan 14 tahun untuk bergunting. Tahun lepas pun kami datang. Memang sangat baik MAN menganjurkan program ini,” kata beliau. – UTUSAN










