Produksi guna judul samaran elak gangguan pihak tertentu di set penggambaran - Utusan Malaysia

Produksi guna judul samaran elak gangguan pihak tertentu di set penggambaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel, Tika Bravani mendedahkan pihak produksi terpaksa menggunakan judul samaran sepanjang proses penggambaran bagi mengelak sebarang gangguan daripada pihak tertentu.

Menurut Tika, langkah itu diambil kerana kes membabitkan seorang remaja, David Ozora yang dipukul anak seorang kenamaan berpengaruh di Jakarta Selatan ketika itu masih hangat diperkatakan dan mencetuskan kemarahan masyarakat.

“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada filem ini. Saya bukan seorang peguam, namun saya sangat bersyukur kerana peguam sebenar yang membantu David Ozora banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Saya masih ingat betapa mencabarnya berlakon dalam filem yang mengangkat isu sangat sensitif dan kontroversi di Indonesia ketika itu.

“Pihak produksi terpaksa menggunakan nama lain supaya tiada siapa mengetahui kandungan sebenar cerita ini. Kami bimbang set penggambaran diganggu oleh mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis tayangan perdana filem itu, baru-baru ini.

Filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel merupakan adaptasi kisah benar yang tular pada 2023 apabila David Ozora dipukul oleh Mario Dandy Satriyo, anak kepada seorang pegawai kanan negara, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan koma.

Sementara itu, pengarah filem berkenaan, Anggy Umbara dan Bounty Umbara, tampil dengan pendekatan berbeza apabila memberi fokus kepada perjuangan bapa mangsa, Jonathan Latumahina, dalam menuntut keadilan buat anaknya.

“Sejak perancangan awal, kami sudah jelas dengan arah penceritaan dan sepakat mengarahkannya bersama. Kisah David Ozora benar-benar menggoncang Indonesia.

“Namun, ramai yang tidak mengetahui perjalanan psikologi dan spiritual seorang bapa yang terpaksa menyaksikan anaknya menjadi mangsa keganasan oleh anak seorang pegawai negara, sehingga peluang hidupnya ketika itu hanya dua peratus,” ujar Anggy.

Filem ini dibintangi barisan pelakon ternama Indonesia seperti Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila dan Mathias Muchus, dan bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 22 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN