Produk tiruan jejas pasaran songket Terengganu

Produk tiruan jejas pasaran songket Terengganu

PEWARIS Manang Songket, Wan Nadhila Safirah Wan Manang menunjukkan koleksi songket tenun di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keaslian dan nilai warisan songket Terengganu semakin terancam susulan lambakan songket tiruan di pasaran termasuk produk import dari luar negara yang dijual pada harga jauh lebih murah.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Azrul Hussein berkata, kebanyakan songket tiruan dibuat menggunakan mesin di kilang.

Katanya, ada juga songket dari luar negara seperti India yang dijual di pasaran tempatan namun tidak boleh dianggap sebagai songket asli Terengganu.

“Kita melihat lambakan songket tiruan di pasaran. Ada songket dari India yang dijual sekitar RM2,000, namun ia bukan songket asli Terengganu.

“Songket tiruan pula boleh didapati pada harga antara RM50 hingga RM200, berbanding songket asli berharga RM500 ke atas bergantung kepada material dan corak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Azrul berkata, hanya individu yang mahir seni songket mampu membezakan songket asli dan tiruan sekali gus menyebabkan ramai pengguna mudah terpedaya.

Sehubungan itu, katanya, Kraftangan Malaysia sentiasa menganjurkan program kesedaran bagi memberi pendedahan mengenai keaslian songket tempatan.

“Sekiranya pengguna berasa ditipu, mereka boleh membuat aduan kepada Tribunal Pengguna Malaysia atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Walaupun ada aduan daripada pengguna yang peka terhadap keaslian songket, tindakan yang dapat diambil setakat ini masih sangat minimum,” jelasnya.

Katanya, sistem pelabelan keselamatan dan sijil keaslian diperkenal bagi melindungi produk warisan seperti songket asli.

“Melalui sistem pelabelan ini, pengguna lebih mudah mengenal pasti songket asli atau tiruan. Biasanya pengusaha songket jenama besar mempunyai label Kraftangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Adiguru Kraf (Tenunan), Wan Manang Wan Awang, 72, kecewa apabila songket tenunan tangan yang mengambil masa lama untuk disiapkan semakin ditenggelami produk mesin yang jauh lebih murah dan mudah dihasilkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN