PETALING JAYA: Indeks prestasi Kerajaan Madani dan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim direkodkan meningkat dalam kalangan rakyat di negara ini sepanjang tempoh enam bulan kebelakangan ini.
Pencapaian tersebut berdasarkan kaji selidik dijalankan Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) dengan melibatkan 1,604 responden berusia 18 tahun ke atas di Semenanjung.
Hasil kaji selidik itu mendapati prestasi kerajaan Madani mencatatkan peningkatan dalam kalangan rakyat iaitu daripada 41 peratus pada Jun kepada 49 peratus, bulan lalu.
“Prestasi Perdana Menteri juga mencatatkan peningkatan kepada 46 peratus daripada 33 peratus dalam tempoh sama,” katanya hari ini.
Laporan itu juga mendapati, 58 peratus responden Cina menyatakan rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri diikuti India sebanyak 42 peratus dan Melayu, 40 peratus.
Katanya, kaedah pengumpulan data kajian adalah menggunakan instrumen temu bual telefon secara rawak yang berpandukan kaedah pensampelan rawak berstrata, pada 15 November hingga 19 Disember lalu.
Institut MASA berkata, walaupun tahap puas hati rakyat terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri meningkat, namun prestasinya masih belum memuaskan iaitu di bawah paras 50 peratus.
Katanya, kaji selidik turut mendapati 36 peratus berpuas hati dengan prestasi Ahli Parlimen kerajaan dan 27 peratus berpuas hati dengan prestasi Ahli Parlimen pembangkang.
“Isu kos sara hidup masih menjadi masalah utama rakyat dengan 42 peratus responden menyatakan kebimbangan itu, diikuti rasuah mewakili 12 peratus dan masing-masing aspek pembangunan ekonomi serta kestabilan politik catatkan sembilan peratus kepuasan.
“Isu hak etnik, kebajikan rakyat dan peluang pekerjaan, masing-masing empat peratus, manakala pembangunan infrastruktur dan isu agama masing-masing tiga peratus dan pendidikan (dua peratus),” katanya.
Institut itu menjelaskan kajian juga mendapati hanya 39 peratus responden berpuas hati dengan usaha kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah utama mereka.
Katanya, persepsi responden terhadap prestasi ekonomi negara berbelah-bahagi dengan 50 peratus menyatakan rasa puas hati dan hanya 41 peratus berpuas hati dengan pendapatan peribadi mereka.
“Dari segi dasar kerajaan, 63 peratus responden bersetuju dengan dasar rasionalisasi subsidi Ron95 dan 55 peratus berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya.
“Sentimen positif rakyat terhadap dasar ini berkemungkinan disebabkan pemberian 300 liter petrol Ron95 bersubsidi secara bulanan kepada pengguna melalui inisiatif Budi Madani Ron95 (BUDI95) yang dapat menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat akibat penyasaran subsidi,” katanya.
Namun, 75 peratus responden tidak berpuas hati dengan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan 54 peratus tidak berpuas hati dengan kadar tarif elektrik baharu yang diperkenalkan kerajaan.
Katanya, sebanyak 49 peratus responden pula bersetuju dengan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar dan hanya 35 peratus berpendapat Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menjejaskan kedaulatan negara.
Sementara itu, berhubung calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pilihan utama dengan 46 peratus, diikuti Anwar (39 peratus) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (16 peratus).
“Dari segi sokongan kaum, Muhyiddin mendapat sokongan tertinggi dalam kalangan responden Melayu sebanyak 56 peratus, diikuti Cina (34 peratus) dan India 14 (peratus).
“Perdana Menteri pula memperoleh sokongan tertinggi dalam kalangan responden Cina iaitu sebanyak 50 peratus, diikuti Melayu (37 peratus) dan India (22 peratus) manakala Ahmad Zahid pula memperoleh 17 peratus sokongan Melayu, Cina (10 peratus) dan India (lima peratus),” katanya.
Menurut Institut MASA, dalam kalangan ahli politik lain, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendahului pilihan sebagai calon Perdana Menteri dengan 52 peratus, diikuti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 41 peratus; Tun Dr Mahathir Mohamad (33 peratus); Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (29 peratus); Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (20 peratus) dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin (17 peratus). – UTUSAN










