PETALING JAYA : Pertumbuhan eksport Malaysia diunjurkan menyederhana tahun ini, susulan cabaran seperti kedudukan ringgit lebih kukuh, impak tarif Amerika Syarikat (AS) serta penurunan dalam permintaan global.
Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata, eksport dijangka terus berkembang meskipun pada kadar lebih perlahan berbanding 2024 dan 2025.
“Pemangkin utama pertumbuhan eksport termasuk kitaran menaik sektor teknologi, sektor pelancongan sebagai ‘eksport perkhidmatan’ dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta jangkaan pemulihan dalam sektor perlombongan.
“Pada masa sama, eksport Malaysia berdepan cabaran baharu seperti impak nilai ringgit yang lebih tinggi, harga komoditi lebih rendah, inflasi global serta risiko geopolitik,” katanya pada sesi Tinjauan Pasaran & Eksport MBSB 2026.
Menurut beliau, eksport Malaysia merekodkan prestasi memberangsangkan dalam tempoh 11 bulan pertama 2025 dengan nilai RM1.454 trilion, pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun.
“Prestasi perdagangan luar Malaysia bagi bulan Disember 2025 dijadualkan diumumkan Jabatan Perangkaan pada Selasa minggu depan.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, negara disasarkan mencapai pertumbuhan eksport tahunan pada kadar purata 5.8 peratus untuk mencapai nilai RM2.09 trilion pada tahun 2030,” katanya.
Sementara itu, Raja Badrulnizam berkata, ASEAN sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia kekal sebagai pintu utama pertumbuhan eksport negara.
Jelasnya, terdapat peluang besar untuk perusahaan tempatan mengeksport produk serta perkhidmatan mereka di rantau ini, dengan Indonesia misalnya menjanjikan pasaran menarik dengan penduduk GenZ berjumlah 74.9 juta orang.
“Selain itu terdapat situasi geopolitik seperti di Thailand yang tidak mahu menerima barangan dari Cambodia, manakala Cambodia pula tidak mahukan barangan Thailand. Keadaan ini mungkin boleh dimanfaatkan perusahaan kita,” ujarnya. – UTUSAN










