PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar insiden gangguan teknikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor baru-baru ini tidak berulang di mana-mana lokasi pintu masuk negara.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, arahan Perdana Menteri itu dikongsi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas menghadiri mesyuarat koordinasi mengenai insiden itu, hari ini.
Menurutnya, beliau secara peribadi mengarahkan setiap komander terutama di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) memantau sistem kemasukan di pintu masuk negara itu.
“Insiden itu perlu diberi penekanan amat tinggi kerana apa yang berlaku telah membuatkan Perdana Menteri memberi arahan supaya perkara ini jangan berlaku lagi.
“Tahun ini pula adalah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan saya secara peribadi memberi arahan kepada semua komander terutama jika mereka melihat petanda sistem tidak beroperasi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah komander-komander AKPS di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, apabila sistem itu mengalami masalah teknikal, setiap komander perlu bertindak cepat dengan memudahkan serta melancarkan pergerakan keluar masuk pengembara.
“Jika sistem sudah tergendala, anda perlu melakukannya secara manual. Jika tidak ada orang (di kaunter), mereka perlu mencari orang untuk penuhkan kaunter tersebut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, puluhan ribu warga asing terkandar dan terpaksa beratur panjang di BSI selepas sistem eGate mengalami gangguan teknikal.
Setakat semalam, gangguan sistem eGate itu masih belum pulih, namun operasi kawalan sempadan kekal berjalan seperti biasa. – UTUSAN










