NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand hari ini menarik kembali arahan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di seluruh Wilayah Narathiwat bermula pukul 9 malam hingga 5 pagi waktu tempatan.
Sumber Pusat Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, arahan menarik balik perintah berkurung dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Narathiwat setelah menilai situasi keselamatan semasa.
Katanya, arahan perintah berkurung di seluruh Wilayah Narathiwat yang dikuatkuasakan sejak malam tadi mengikut Akta Undang-Undang Tentera 1914, ditarik balik hari ini.
“Pelaksanaan perintah berkurung itu hakikatnya dibuat setelah menilai situasi keselamatan semasa susulan pengeboman ke atas 11 stesen minyak di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, awal pagi semalam.
“Ia juga dilaksanakan setelah pasukan keselamatan menilai bahawa terdapat ancaman terhadap nyawa dan harta benda rakyat akibat pergolakan tidak terkawal. Pasukan Peguas Khas Narathiwat menyedari situasi terkini telah pulih dan keadaan keselamatan adalah terkawal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN










