PUTRAJAYA: Syarat wajib mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum membolehkan pelajar daripada aliran sekolah bukan pendidikan nasional memohon ke universiti awam (UA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, aliran sekolah bukan pendidikan nasional itu bukan sahaja sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), malah turut melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama atau sekolah aliran arab.
Beliau berkata, selepas syarat tersebut dipenuhi, penyelarasan akan dilakukan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai kemasukan pelajar aliran lain ke universiti awam.
“Yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan hanya UEC. Ia melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah Arab, sekolah agama dan kursus-kursus lain. Seluruh ekosistem pendidikan ini perlu dipenuhi dahulu sebelum kerajaan membuat langkah seterusnya.
“Saya tahu yang menjadi kontroversi kepada satu kaum isu itu. Tetapi kita nak mencari penyelesaian menyeluruh dan pendekatan.
“Segala syarat yang melibatkan semua sistem pendidikan dalam negara kita yang sebelum ini tidak berteraskan kepada pendidikan nasional, hendaklah memenuhi kriteria iaitu mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang dirasmikan Perdana Menteri di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.
Menerusi langkah sedemikian, Anwar menegaskan, kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke UA juga tidak lagi berbangkit selepas ini.
Zambry menekankan bahawa pendekatan ini bertujuan untuk menyelesaikan isu kemasukan pelajar dari semua komuniti secara menyeluruh, tanpa memberi keistimewaan kepada satu kumpulan sahaja. – UTUSAN










