Penstrukturan semula PTPTN tidak jejas kelayakan pinjaman perumahan - Utusan Malaysia

Penstrukturan semula PTPTN tidak jejas kelayakan pinjaman perumahan

ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan bantuan persekolahan pada Program Kembali ke Sekolah di Manjung hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Penstrukturan semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak menjejaskan kelayakan peminjam untuk memohon pinjaman perumahan pada masa hadapan seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan tegas hanya akan diambil terhadap peminjam yang langsung tidak berusaha menghubungi PTPTN atau memaklumkan kedudukan kewangan mereka.

“Tidak (dakwaan sukar mohon pinjaman). Yang kita ambil tindakan ini ialah kepada mereka yang langsung tidak pernah membuat tindakan (rundingan bersama PTPTN),” katanya kepada pemberita pada Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini hari ini.

Pada program itu, seramai 900 pelajar daripada keseluruhan 1,350 penerima di Parlimen Lumut menerima sumbangan kelengkapan sekolah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Menurut Zambry, kerajaan mengamalkan pendekatan berteraskan konsep keihsanan dalam pengurusan bayaran balik pinjaman PTPTN kerana tidak mahu rakyat merasakan tuntutan itu sebagai satu tekanan besar terhadap mereka.

Katanya, mana-mana peminjam yang menghadapi masalah kewangan boleh berunding dengan PTPTN supaya penyusunan semula bayaran balik dapat dibuat mengikut kemampuan serta keadaan semasa mereka.

“PTPTN sentiasa membuka pintu untuk mereka, tapi masalah yang berlaku, mereka langsung tidak pernah datang memaklumkan keberadaan dan kedudukan mereka.

“Bagi mereka yang membayar, adakalanya mereka mempunyai kesulitan, jadi mereka boleh datang untuk berbincang. Saya telah maklumkan kepada pihak PTPTN dan Ketua Pengarahnya ada di sini, beliau boleh mengesahkan dari segi arahan kerajaan supaya ruang perbincangan itu diberikan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Zambry berkata, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila simpanan setakat ini mencecah hampir RM22 bilion melibatkan kira-kira tujuh juta akaun.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan tahap kesedaran tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk menabung bagi pendidikan jangka panjang anak-anak.

“Dari segi jumlah simpanan, kita tidak menetapkan had minimum yang tinggi. Boleh mula menabung dengan serendah RM20, sekiranya mempunyai lebihan wang, mereka boleh menambah simpanan pada bila-bila masa, sama ada secara bulanan atau harian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN