PETALING JAYA: Penjawat awam berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya mendapat satu hari kelepasan am gantian susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam masing-masing jatuh pada 1 Februari depan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, penetapan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369].
Katanya, ia memperutukan bahawa sekiranya mana-mana hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am iaitu 2 Februari.
“Bagi pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, walaupun Hari Wilayah dan Hari Thaipusam jatuh pada tarikh sama, penjawat awam hanya akan menikmati tundaan hari kelepasan am pada hari berikutnya, iaitu 2 Februari 2026.
“Bagi mereka (PPA) yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan hari kelepasan am bagi Hari Wilayah yang jatuh pada 1 Februari 2026 (Ahad) juga ditetapkan pada 2 Februari 2026 (Isnin),” katanya.
Menurutnya, penetapan cuti gantian akibat pertindihan hari kelepasan am seperti yang dinyatakan dalam siaran akhbar bertajuk ‘Cuti Umum Sempena Perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah Bagi Pekerja Swasta Pada 1 Februari 2026’ dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia pada Disember lalu tidak terpakai kepada penjawat awam.
Pada 29 Disember lalu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, memaklumkan cuti Hari Wilayah Persekutuan adalah cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta tidak boleh diganti selaras dengan peruntukan seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 [Akta 265].
“Memandangkan cuti Hari Wilayah Persekutuan pada 2026 jatuh pada hari Ahad, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan hendaklah memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Isnin.
“Sementara itu, majikan yang memilih Hari Thaipusam sebagai sebahagian daripada baki enam hari kelepasan am pilihan di bawah Subseksyen 60D(1)(a) Akta 265 perlu memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Selasa, susulan pertindihan kedua-dua hari kelepasan am berkenaan,” katanya.- UTUSAN










