Peniaga makanan mengaku tak bersalah langgar doktor di plaza tol

Peniaga makanan mengaku tak bersalah langgar doktor di plaza tol

KHOR Wei Yeak (dua dari kanan) diiringi oleh beberapa anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas didakwa atas pertuduhan melanggar seorang doktor di kawasan plaza tol sehingga menyebabkan kecederaan pada 28 Disember lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang peniaga makanan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melanggar seorang doktor di kawasan plaza tol sehingga menyebabkan kecederaan pada 28 Disember, tahun lepas.

Tertuduh, Khor Wei Yeak, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap A. Avinash, 32, dengan melanggarnya menggunakan sebuah kereta di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Perai, kira-kira pukul 11.30 malam pada 28 Disember 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh pula diwakili peguam, C. Hari Prassaad Rao.

Ketika prosiding, Hari Prassaad memohon agar mahkamah mengenakan wang jaminan minimum kerana anak guamnya itu berpendapatan rendah iaitu tidak sampai RM2,000 sebulan selain perlu menyara seorang isteri dan anak.

“Sejak direman pada 29 Disember lalu, tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang baik ketika disoal siasat,” katanya yang memberitahu, siasatan kes itu juga telah ditukar kepada Seksyen 324 berbanding sebelum ini di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan laporan perubatan.

Dalam kejadian itu, suspek yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dikatakan telah melanggar mangsa dari arah hadapan.

Rakaman video mengenai insiden itu tular di media sosial sebelum suspek berjaya ditahan dan direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN