Peniaga kenakan caj 20 sen beg plastik berdepan tindakan - Utusan Malaysia

Peniaga kenakan caj 20 sen beg plastik berdepan tindakan

TEH KOK LIM (empat dari kanan) ketika mengadakan lawatan kerja dan perasmian Pusat Kelestarian Plastik - Plastics Sustainability Centre (PSC) di Aeon BiG Falim, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Premis perniagaan dan peniaga di negeri ini yang masih mengenakan caj 20 sen bagi penyediaan beg plastik kepada pelanggan bakal dikenakan tindakan penguatkuasaan bermula 1 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, bermula tarikh tersebut, semua premis perniagaan tidak lagi dibenarkan menyediakan atau menjual beg plastik kepada pelanggan, termasuk dengan mengenakan caj.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

“Sekarang sudah tidak boleh, mulai 1 Mac mereka tidak boleh jual atau mengenakan caj untuk beg plastik kepada pelanggan. Kalau mereka mahu jual beg pun, hanya beg kitar semula.

“Jadi, kalau ada kedai yang mengenakan caj 20 sen, maka tindakan boleh diambil di bawah PBT. Dengan kelulusan MMK, PBT akan bertindak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan perasmian Pusat Kelestarian Plastik – Plastics Sustainability Centre (PSC) di Aeon BiG Falim di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini telah menguatkuasakan larangan menyediakan dan menggunakan beg plastik pakai buang bermula 1 Januari lalu, dengan pelaksanaan penuh ditangguhkan sehingga 1 Mac depan.

Katanya, penangguhan selama dua bulan itu bagi memberikan masa yang mencukupi kepada rakyat untuk membuat persediaan.

“Larangan itu akan berkuat kuasa di kawasan Hutan Simpan Kekal, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negeri Pulau Sembilan, Geopark Lenggong dan Lembah Kinta selain premis tetap seperti pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai di stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

“Larangan itu berkuatkuasa setiap hari berbanding sebelum ini pada hari Sabtu sahaja. Mulai 1 Mac depan, tiada lagi beg plastik akan diberi kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai PSC, beliau berkata, penubuhan PSC merupakan satu inisiatif pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan plastik secara bertanggungjawab.

“PSC yang diwujudkan dengan kerjasama Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA) Perak dan SIRIM bukan pusat kitar semula, sebaliknya berfungsi sebagai platform pendedahan kepada komuniti mengenai inovasi plastik, kaedah pengoptimumkan penggunaan serta amalan kelestarian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN