Penglibatan MKN sebagai ahli tetap SPJP perkukuh pertahanan - Lokman Hakim

Penglibatan MKN sebagai ahli tetap SPJP perkukuh pertahanan – Lokman Hakim

Datuk Lokman Hakim Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh peranan Angkatan Sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dipertingkatkan menerusi beberapa ketetapan penting yang dicapai dalam Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela Siri Ke-19 hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, antara persetujuan utama sidang adalah keperluan untuk melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai Ahli Tetap SPJP bagi memperkukuh pelaksanaan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WoGoS).

“Penglibatan MKN dilihat relevan memandangkan peranannya sebagai penyelaras dan pengurus dasar serta pelaksanaan berkaitan keselamatan negara, sekali gus berupaya memperkukuh perhubungan strategik antara Kerajaan Negeri dan ATM.

“Pendekatan ini selari dengan hasrat forum SPJP yang menekankan penyelarasan menyeluruh melibatkan keseluruhan jentera kerajaan dan masyarakat dalam memperkukuh pertahanan negara,” katanya.

Lokman Hakim berkata demikian selepas mempengerusikan Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela Siri Ke-19 di Wisma Perwira Angkatan ATM di sini, hari ini.

Persidangan tersebut menghimpunkan seramai 23 orang ahli yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendukung negeri-negeri atau wakil masing-masing antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil kepimpinan tertinggi ATM merangkumi Ketua Staf Markas dan Timbalan Panglima daripada ketiga-tiga perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.

Dalam pada itu, Lokman Hakim berkata, sidang turut bersetuju agar sebuah Bengkel Penyelarasan dilaksanakan bagi menstruktur, menyemak dan memperkasakan Angkatan Sukarela ATM dari segi dasar, polisi dan peraturan yang melibatkan peruntukan, pentadbiran, pengurusan, latihan serta mobilisasi.

“Ahli SPJP juga bersepakat untuk meningkatkan inisiatif dan usaha mempelbagaikan kaedah promosi yang lebih efektif dan efisien, termasuk pengaplikasian media arus perdana seiring dengan pemikiran moden masyarakat umum, khususnya dalam kalangan golongan belia.

“Malah, ahli SPJP bersetuju supaya kajian yang komprehensif dan berfokus dilaksanakan berkaitan penambahbaikan insentif dan ganjaran kepada anggota sukarela yang aktif dalam penyertaan latihan, sebagai penyuntik semangat bagi meningkatkan tahap penglibatan serta minat orang awam menyertai Angkatan Sukarela ATM.

“Selain itu, kajian terhadap kriteria pencalonan penerima tauliah kehormat juga dicadangkan supaya pemegang tauliah kehormat yang dilantik dapat memainkan peranan sebenar melalui sokongan strategik dan modal sosial yang memberi impak kepada ATM,” katanya.

Jelas Lokman Hakim, SPJP menjadi platform penting untuk menyelaras inisiatif bersama, meneroka insentif bersesuaian serta mengoptimumkan perkongsian sumber antara kerajaan persekutuan dan negeri.

“Persidangan ini merupakan langkah strategik yang signifikan susulan penganjuran terakhir pada tahun 2015, bertujuan memperbaharui dan memperkukuh mekanisme penyelarasan nasional Angkatan Sukarela ATM.

“Mekanisme penyelarasan ini amat penting bagi memastikan peranan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat diselaraskan secara berkesan khususnya dalam aspek tadbir urus, kebajikan, pembangunan kapasiti serta kesiapsiagaan sumber, agar Angkatan Sukarela terus berfungsi sebagai komponen sokongan pertahanan yang mampan dan berdaya tahan,” kongsinya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN