Peneman ke konsert semalam bukan teman istimewa – Ammar Ahyan - Utusan Malaysia

Peneman ke konsert semalam bukan teman istimewa – Ammar Ahyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti media sosial, Ammar Ahyan, 17, mencuri perhatian apabila dilihat hadir ke Konsert Healing Nite 2026 bersama seorang rakan perempuan di Stadium Merdeka, malam tadi.

Bagaimanapun, anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri itu menafikan mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan wanita berkenaan yang merupakan rakan sekolejnya.

Menurut Ammar, kehadirannya ke konsert tersebut hanyalah atas dasar persahabatan selepas dia diajak menemani rakannya itu yang mempunyai tiket lebihan.

“Dia ajak saya temankan tengok konsert sebab ada tiket lebih. Kami memang tiada hubungan istimewa dan sudah saling mengenali sejak saya masuk kolej lagi.

“Mengenai berpakaian sedondon, ia tidak dirancang dan berlaku secara kebetulan,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Tambah Ammar, aktiviti keluar bersama rakan perempuannya itu turut diketahui oleh kedua-dua ibu bapanya.

“Ibu bapa saya tahu kami keluar bersama. Cuma abah ada berpesan supaya jangan buat perkara tidak elok, itu sahaja,” katanya yang mengakui sangat menggemari persembahan penyanyi tersohor, Anuar Zain.

Terdahulu, Konsert Healing Nite 2026 yang berlangsung hampir tiga jam itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 4,000 penonton.

Konsert berkenaan dihangatkan dengan persembahan mantap daripada barisan artis terkenal seperti Ella, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Lyodra serta kumpulan dari Indonesia, Kangen Band. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN