KUALA LUMPUR: Pelakon, Que Haidar, 46, mengambil pendekatan berbincang apabila berhadapan dengan syarikat produksi yang menawarkan kerja lakonan dengan kadar bayaran tidak berpatutan atau terlalu rendah.
Kata Que, rundingan adalah jalan terbaik dalam mendapatkan kesepakatan sebelum memilih menolak secara baik tawaran berkenaan.
“Saya akui, wujud wakil syarikat produksi yang menawarkan saya kadar bayaran lakonan yang tidak munasabah.
“Alasan yang selalu diberikan adalah tiada peruntukan. Dari dulu sebelum saya berehat panjang, sampai sekarang apabila saya kembali berlakon, alasan yang sama saya dengar. Saya pun letih juga terima alasan yang sama.
“Tapi tentunya, sebelum saya tolak, selagi boleh, saya akan runding terlebih dahulu. Kalau tak mencapai kesepakatan, barulah saya tolak dengan baik.
“Kita ini bekerja dalam industri yang kecil. Jadi, jangan bermusuh dengan sesiapa. Berbaik dengan semua orang. Kalau tak setuju terhadap bayaran yang ditawarkan, tolak dengan baik,” katanya ketika ditemui di set penggambaran Paksu Ammara, baru-baru ini.
Que dalam masa sama memaklumkan dia sedia mempertimbangkan soal bayaran sekiranya ditawarkan watak yang benar-benar diinginkannya.
“Insya-Allah, Saya sedia bertolak ansur, sedikit longgar soal bayaran jika watak yang ditawarkan itu benar-benar saya idamkan,” ujarnya.
Disoal mengenai watak atau jalan cerita yang diinginkan, Que memaklumkan dia masih mengintai peluang untuk beraksi dalam filem yang menceritakan mengenai zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
“Seperti filem Embun atau Leftenan Adnan. Saya mahu berlakon dalam cerita-cerita sebegini. Teringin, tapi tak berpeluang. Zaman sekarang pun sudah jarang filem seperti ini dihasilkan,” kongsinya. – UTUSAN








