Penantian 17 tahun 'CJ' dapat MyKad bakal berakhir, borang diserah JPN

Penantian 17 tahun ‘CJ’ dapat MyKad bakal berakhir, borang diserah JPN

SEORANG remaja bersama ibunya hadir di Ibu Pejabat JPN Putrajaya berhubung permohonan MyKad. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam, N. Surendran yang mewakili keluarga seorang remaja lelaki berusia 17 tahun memaklumkan bahawa keluarga itu telah menyerahkan borang permohonan kad pengenalan remaja terbabit kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Surendran berkata, selepas JPN menerima borang berkenaan, remaja itu yang dikenali sebagai CJ dijangka menerima kad pengenalannya dalam tempoh masa kira-kira 30 hari, sekali gus membuka laluannya untuk meneruskan kehidupan seperti remaja lain di negara ini.

“Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik. Kami amat gembira untuk mereka pada pagi ini kerana perjuangan yang panjang selama 17 tahun akhirnya berakhir hari ini.

“Ini merupakan satu hari yang amat bermakna buat mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan JPN di sini harini.

Terdahulu, menerusi satu kenyataan, peguam kepada remaja tersebut menggesa JPN mematuhi perintah mahkamah dan berhenti ‘menghalang’ proses permohonan yang membebankan dengan lebih banyak dokumen.

Mereka turut mempersoalkan keperluan mendapatkan tandatangan ‘wakil rakyat’ memandangkan mahkamah telah pun memutuskan kes kewarganegaraan tersebut pada 8 Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, pengeluaran MyKad itu kelak akan membolehkan remaja berkenaan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa lagi berdepan kekangan dokumentasi.

Surendran turut menyifatkan kejayaan menyerahkan permohonan itu sebagai penamat kepada perjuangan selama 17 tahun yang dilalui oleh keluarga berkenaan untuk mendapatkan pengiktirafan sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap proses pentadbiran berkaitan dokumen pengenalan diri dapat dilaksanakan dengan lebih berperikemanusiaan, khususnya yang melibatkan keluarga dan individu biasa yang tidak mempunyai kelebihan atau hubungan tertentu.

“Keluarga ini hanyalah rakyat biasa. Mereka tidak mempunyai keistimewaan, tetapi terpaksa melalui proses yang panjang dan mencabar. Saya berharap perkara seperti ini tidak lagi berulang kepada keluarga lain,” katanya.

Semalam, JPN menegaskan tiada keingkaran terhadap perintah mahkamah tinggi berlaku dalam kes permohonan MyKad seorang remaja berusia 17 tahun dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur selaras dengan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN