Penang FC 'berpesta' gol di Stadium Bandaraya

Penang FC ‘berpesta’ gol di Stadium Bandaraya

KAPTEN Penang FC, Stefano Brundo (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang petang ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang FC ‘berpesta’ gol di Stadium Bandaraya apabila membelasah Melaka FC 5-0 dalam aksi Liga Super, petang tadi.

Bermula garang, tuan rumah yang masih dibayangi kejayaan mengejutkan Terengganu FC 2-0 di gelanggang lawan minggu lepas terlebih dahulu di depan seawal minit ke-4 menerusi kapten, Stefano Brundo.

Gol berpunca daripada satu sepakan percuma luar kotak penalti selepas pemain sayap, Firdaus Saiyadi dijatuhkan pertahanan pelawat, Argzim Redzovic.

Lima minit berselang, Brundo sekali lagi mencipta nama selaku penjaring apabila memanfaatkan kekalutan di depan pintu gol Melaka FC untuk gol kedua tuan rumah.

Malang terus menimpa skuad pelawat yang kini di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu iaitu E. Elavarasan apabila giliran pemain sayap kelahiran Australia, Dylan Wenzel-Halls pula mencatat nama selaku penjaring gol untuk Penang FC pada minit ke-11.

Wenzel-Halls kemudian terus menghukum kealpaan benteng pertahanan pelawat tiga minit kemudian untuk gol keempat apabila tenang melakukan rembatan ke penjuru kiri gawang selepas membuat larian dari tengah padang.

Masuk babak kedua, Melaka FC kembali menyusun strategi dan mula mengatur serangan lebih kemas untuk memburu gol.

Bagaimanapun, jentera serangan mereka yang diterajui pemain kelahiran Brazil, Juan Douglas gagal menembusi kubu tuan rumah yang kental bertahan.

Ketika Melaka FC ghairah mengatur serangan untuk memburu gol, anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail secara tiba-tiba melakukan serangan balas dan berjaya memperoleh gol kelima menerusi pemain pertahanan, Obilor Faith Friday pada minit ke-85.

Gol berpunca daripada satu sepakan sudut yang berjaya disudahkan dengan baik menerusi rembatan kaki oleh pemain kelahiran Nigeria itu.

Pelawat cuba bangkit untuk sekurang-kurangnya mendapatkan gol sagu hati, namun, keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Penang FC kini melonjak ke tangga ke-9 apabila berkongsi 14 mata dengan Sabah, namun, memiliki kelebihan satu gol.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN