KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO merayu membuka pintu kepada mereka masih menyayangi parti itu termasuk individu yang pernah digantung keahlian, dipecat atau kini berada dalam parti lain tetapi masih mempunyai jiwa UMNO.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, perkara tersebut wajar dilaksanakan dengan penuh kerendahan hati demi mengukuhkan kembali kekuatan UMNO.
“Saya dengan penuh kerendahan hati agar pintu dibuka kepada mereka yang masih sayang kepada UMNO.
“Walaupun ada dalam kalangan mereka yang sedang digantung, walaupun dibuang dan walaupun ada yang telah menyertai parti lain, tetapi jiwa mereka tetap UMNO,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO di sini hari ini.
Menurut beliau, masih belum terlambat untuk mereka kembali bersama UMNO sekiranya benar-benar ikhlas dan bersedia menerima disiplin serta prinsip perjuangan parti.
“Maka belum terlambat, seperti yang disebut oleh Presiden semalam, selama kembali ke UMNO,” katanya.
Beliau berkata, usaha membuka ruang kepada bekas ahli yang mahu kembali perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh penyatuan dalam parti, khususnya dalam usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.
Katanya, penyatuan itu penting bagi memastikan UMNO terus kekal relevan sebagai parti teras yang memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Tambah beliau, pendekatan berteraskan keinsafan, kebesaran jiwa dan keberanian politik perlu menjadi asas dalam mengembalikan kekuatan UMNO pada masa depan.-UTUSAN










