MELAKA: Pembekuan sementara perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjejaskan kesiapsiagaan dan operasi keselamatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dibuat bagi memberi ruang kepada kerajaan menambah baik proses perolehan termasuk aspek ketelusan dan tadbir urus tanpa menafikan keperluan kritikal pasukan keselamatan.
“Kita faham mengapa pembekuan sementara itu dilaksanakan, ia bertujuan memastikan proses perolehan dapat diperbaiki dan diperkemaskan.
“Bagaimanapun, mana-mana perolehan yang melibatkan operasi serta kesejahteraan anggota boleh dibincangkan supaya tidak menjejaskan tugas-tugas utama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak di sini hari ini bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi serta aspek kebajikan anggota dan keluarga ATM.
Kerajaan baru-baru ini meneruskan pembekuan sementara semua perolehan melibatkan ATM serta agensi berkaitan bagi diteliti semula dan dipantau rapi sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan dengan mengambil kira keupayaan kewangan negara.
Sementara itu, pada program berkenaan pihaknya terus memperkasa kebajikan warga ATM menerusi pemerkasaan pendidikan digital, pembangunan kesihatan dan kesejahteraan keluarga tentera.
“Kerajaan bukan sahaja menitikberatkan kesiapsiagaan angkatan tentera, tetapi turut memberi perhatian besar kepada pendidikan anak-anak, kesihatan keluarga dan kemudahan perumahan.
“Apabila kebajikan mereka terjaga, anggota akan lebih fokus kepada tugasan dan ini akhirnya memperkukuhkan keselamatan negara,” katanya.
Beliau menyampaikan 3,270 unit komputer riba sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada 38 Sekolah Dalam Kem (SDK) ATM, selain menyempurnakan simbolik penyerahan peruntukan senggaraan RM25 juta dan alat bantu mengajar bagi tahun 2026.
Beliau turut menyempurnakan upacara pecah tanah Projek Pembangunan Hospital ATM baharu bernilai RM320 juta yang dijangka siap pada Januari 2029 dengan kapasiti 150 katil.
Selain itu, beliau turut meninjau Projek Cendawan Pintar Program Ekonomi Madani Bakat yang merekodkan hasil pengeluaran melebihi 100 kilogram setakat Disember 2025.
Mohamed Khaled juga melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Jalan Kenanga dan menyampaikan simbolik Peruntukan Senggaraan Kem Terendak Melaka Tahun 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem kesejahteraan warga ATM dan keluarga mereka. – UTUSAN










