KUALA TERENGGANU: Pemandu Honda Jazz yang sebelum ini terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri.
Mohd. Izuddin Zakaria, 32, yang sekali lagi dibawa ke muka pengadilan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM200, beg merah, seutas kunci bertulis Honda, kad holder, kad kuasa tentera, kad ATM Maybank dan Affin Bank serta lesen memandu milik seorang lelaki berusia 29 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di laluan parkir kereta Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kira-kira pukul 1.15 petang pada 5 Januari lalu. Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru serta ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Februari ini.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Inspektor Mohd. Khairi Mohd.Noor manakala tertuduh hadir tanpa wakil peguam.
Pada 12 Januari lalu, Mohd. Izuddin dilapor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penuntut UniSZA. – UTUSAN










