JOHOR BAHRU: Tiga pemain warisan negara, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal tidak menunjukkan tanda-tanda ‘berkarat’ biarpun lama tidak beraksi di Liga Malaysia (Liga M).
Ketiga-tiga pemain itu memberi impak segera ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Shan United 3-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), kelmarin.
Dalam aksi itu, Hevel dan Figueiredo masing-masing membuat satu bantuan gol manakala Irazabal beraksi cemerlang sebagai tunjang barisan pertahanan Harimau Selatan.
Menurut Bergson Da Silva, kehadiran trio pemain warisan Harimau Malaya itu tepat pada masanya ketika pasukan akan berdepan jadual pada tidak lama lagi.
“Saya gembira untuk mereka setelah dapat beraksi semula bersama pasukan khususnya Joao (Figueiredo). Dia seorang pemain yang bijak dan kami saling dapat membaca pergerakan antara satu sama lain.
“Malah, dia turut memberikan ‘assist’ kepada saya pada perlawanan itu, saya merasa berbesar hati dapat berkongsi padang dengannya dan berharap akan kerap digandingkan bersama.
“Kehadiran semula mereka bertiga ini memberi tonik buat pasukan, kami tahu bagaimana mereka menjadikan pasukan lebih baik di dalam dan juga di luar padang, harap mereka cepat kembali ke prestasi terbaik mereka,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, JDT tampak bergelut untuk memecah kebuntuan namun dengan kemasukan ayam tambatan kelahiran Brazil itu, Harimau Selatan berjaya meledak tiga gol dalam masa lima minit.
Menurut penyerang kelahiran Brazil itu, bukan mudah untuk menentang pasukan yang bermain secara bertahan sepanjang perlawanan dan JDT terpaksa bekerja keras untuk merungkai barisan pertahanan itu.
“Tambahan pula apabila bermain dalam keadaan suhu tinggi di sebelah petang. Walaupun kami biasa berlatih waktu sama seperti ini, tetapi atmosfera dalam perlawanan kompetitif adalah berbeza.
“Ini menjadikan situasi berganda lebih sukar buat kami. Jadi, kami perlu rasa bangga atas kejayaan pada malam ini setelah pemain Kekal disiplin dan komited sehingga wisel penamat,” ujarnya.-UTUSAN










