IPOH: Pelancaran jentera Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) oleh Pas di Lenggong baru-baru ini telah menggerakkan jentera UMNO untuk bangkit dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah yang diambil parti itu wajar dilihat dari sudut positif kerana secara tidak langsung mendorong jentera UMNO untuk kembali aktif.
“Baguslah, sebab bila Pas mula melancarkan (gerak kerja), maka jentera UMNO akan bangkit dengan sendirinya. Kalau tidak, jentera UMNO tidur.
“Bagi saya, ambil ia sebagai perkara yang positif, tiada masalah. Cuma saya ucapkan terima kasih kerana mereka telah membantu menggerakkan jentera UMNO bangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Ahad lalu, Pas Perak melancarkan Gerak Kerja PRU-16 negeri itu di Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Kampung Luat, Lenggong dengan dihadiri Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Sementara itu, mengulas dakwaan kekusutan dalam Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, UMNO ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina dan memperkukuhkan kekuatan parti tanpa melihat kelemahan pihak lain.
Malah katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga telah mengeluarkan arahan untuk semua peringkat parti termasuk bahagian dan cawangan agar memperkukuh organisasi dalaman masing-masing.
“Kita bina dan bangunkan kekuatan kita sendiri, kita tidak ambil tahu hal orang lain sama ada dia lemah atau kuat, kalau kita menang, kita menang atas kekuatan kita sendiri.
“Berkaitan PN, terpulang pada mereka kerana di peringkat UMNO, kita perkukuhkan dalaman parti sendiri,” katanya. – UTUSAN










