KUALA TERENGGANU : Seorang pelajar tingkatan tiga maut pada hari pertama persekolahan selepas motosikal ditunggangnya kemalangan di Jalan Kepong di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 6.40 pagi itu, Nor Hazimi Nor Hashim, 15, yang belajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Kemalangan berlaku ketika Nor Azimi dalam perjalanan pulang mengambil adiknya di rumah mereka di Belukar Sukai, Kepong di sini untuk ke sekolah selepas mengisi petrol .
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kemalangan berlaku selepas motosikal jenis Honda C100 ditunggang mangsa gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dikatakan tiba-tiba memasuki laluannya.
“Rempuhan kuat mengakibatkan mangsa tercampak sebelum motosikal Honda C100 dinaikinya terbakar. Lelaki berusia 40 tahun yang memandu kereta Perodua Axia selama” katanya di sini hari ini
Sementara itu, bapa mangsa, Nor Hashim Puteh, 55, berkata, sewaktu kejadian, Nor Azimi dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari sebuah stesen minyak di Pengadang Baru di sini.
Katanya, Nor Azimi sepatutnya mengambil adik bongsunya, Nor Hasmiea, 14 , untuk sama-sama ke sekolah dengan menunggang motosikal.
“Saya tunggu dia tidak pulang-pulang ke rumah sebelum dimaklumkan Nor Azimi terlibat kemalangan. Sewaktu keluar mengisi minyak dia memakai topi keledar. Anak saya memang ke sekolah menunggang motosikal sejak tahun lalu,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas yang berada di Terengganu sempena Sesi Lawatan Hari Pertama Persekolahan 2026 di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek , di sini, turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – UTUSAN










